
Menang bonus, berani satu kejayaan
Langkah di gelanggang ukuran awal kejayaan pesilat muda, sebelum ke pertandingan lebih besar
SSJF Cup 3.0 memberi perhatian kepada pembangunan pesilat seawal usia lima tahun hingga peringkat remaja.
Pendekatan ini membolehkan mereka mengaplikasikan teknik dan taktikal yang dipelajari di gelanggang, kelab mahupun sekolah masing-masing dalam suasana pertandingan sebenar.
Penasihat Kelab Silat Olahraga Wira Titiwangsa (KSOWT), Hazli Adnan berkata, kejayaan individu berkenaan tidak hanya diukur melalui kemenangan.
"Keberanian anak-anak kecil ini melangkah masuk ke gelanggang, mencuba teknik dipelajari dan kesediaan berdepan dengan lawan, itu juga adalah satu kemenangan besar mereka. Kemenangan itu dianggap sebagai bonus," katanya.
Bukan itu sahaja, ujar Hazli, pemberian sijil kepada setiap peserta juga dijadikan sebagai motivasi menunjukkan usaha penganjur memastikan semangat anak-anak kecil itu terus menyala, walaupun tidak berjaya mara ke peringkat seterusnya.
"Pengalaman di SSJF Cup 3.0 ini menjadi bekalan penting buat pesilat remaja yang bakal menghadapi 6th Junior World Pencak Silat Championship di Uzbekistan
“Secara tidak langsung, pertandingan ini menjadi medan untuk menguji kesiapsiagaan mereka sebelum melangkah ke pentas dunia," katanya lagi.

Mental, fizikal lebih kental
Selain pengalaman bertanding, aspek mental dan fizikal turut menjadi perhatian dalam usaha mempersiapkan pesilat muda menghadapi persaingan di peringkat antarabangsa.
Hazli berkata, antara kelemahan yang dikenal pasti dalam kalangan pesilat tempatan ialah tahap keyakinan diri, terutama apabila membawa cabaran negara meskipun mempunyai rekod pencapaian cemerlang di peringkat kebangsaan.
"Ada atlet yang berjaya muncul juara dalam pertandingan tempatan, tetapi prestasi mereka tidak semestinya dapat dikekalkan apabila beraksi di pentas antarabangsa.
"Kadang-kadang mereka sudah menjadi juara di Malaysia, tetapi apabila mewakili negara, keyakinan diri dan semangat juang itu seolah-olah berkurangan.
"Ini boleh diberi perhatian kerana mereka merupakan antara atlet terbaik yang kita ada. Motivasi dan keyakinan diri perlu terus dipertingkatkan," ujarnya.
Selain kekuatan mental, ketahanan fizikal juga perlu diperkukuh bagi membolehkan atlet menghadapi cabaran pesilat dari negara lain yang mempunyai kelebihan dari segi fizikal dan ketinggian tubuh.
Tambah Hazli, walaupun pesilat Malaysia mempunyai kelebihan dari aspek kecergasan, teknik dan taktikal, perbezaan fizikal antara atlet boleh menjadi cabaran ketika berhadapan lawan di gelanggang antarabangsa.
