
Gelanggang penuh aksi, pesilat penuh ambisi
REAKSI
"Biasanya, setiap hari pukul 6.30 pagi, saya sudah mula buat latihan kecergasan. Selepas balik sekolah pula, sambung latihan teknik seperti kemas kuda-kuda, jantung, lock, pemberat dan lain-lain.
Ini kali pertama saya akan beraksi di Kejuaraan Dunia Junior. Jadi, sasaran mestilah mahu naik ke podium.
Saya tidak kisah dapat nombor berapa, asalkan dapat naik podium dan membanggakan ibu bapa.
Lebih-lebih lagi, saya pernah mengalami kecederaan yang menyebabkan saya 'jatuh' selama lebih dua tahun.
Jadi, peluang ke Uzbekistan ini memang bermakna buat saya. Saya mahu buktikan bahawa saya mampu bangkit semula dan kembali mencapai impian." - Pelajar SMK Seri Titiwangsa, Batrisyia Karmila Khairul Anwar, 15.
"Sasaran saya untuk Kejuaraan Dunia Junior nanti adalah memberikan persembahan terbaik dan mencapai kejayaan tertinggi.
Saya mahu buktikan segala usaha, latihan dan pengalaman selama ini tidak sia-sia.
Pada masa sama, saya juga mahu menimba pengalaman, meningkatkan kemahiran dan membawa pulang kejayaan untuk mengharumkan nama Malaysia.
Persiapan saya bukan hanya dari segi fizikal, tetapi juga mental dan disiplin. Setiap hari saya berusaha memperbaiki teknik, meningkatkan stamina serta memantapkan keyakinan diri.
Bagi saya, setiap latihan adalah satu langkah untuk mencapai kejayaan." - Pelajar SMK Seri Titiwangsa, Muhammad Dzall Aidi Mohd Nasir, 15.

"Sebagai peserta yang akan bertanding dalam kategori olahraga, saya membimbangkan kemampuan untuk menyesuaikan diri dengan suasana pertandingan antarabangsa, terutama apabila perlu berhadapan dengan atlet dari negara lain yang ada pengalaman serta kelebihan masing-masing.
Tetapi, saya akan cuba kawal perasaan, kekal fokus dan berikan persembahan terbaik. Saya mahu jadikan kebimbangan ini sebagai motivasi untuk menjadi lebih kuat.
Sebagai pelajar sekolah dan pesilat, semestinya cabaran terbesar adalah membahagikan masa antara tanggungjawab dengan komitmen.
Kadangkala, jadual latihan yang padat menyebabkan masa untuk belajar agak terhad. Jadi, saya cuba siapkan tugasan sekolah lebih awal dan gunakan masa lapang untuk mengulang kaji pelajaran.
Bagi saya, kedua-duanya penting. Saya mahu berjaya dalam sukan, tetapi pada masa sama tidak mahu mengabaikan pelajaran." - Pelajar SMK Seri Titiwangsa, Aira Husna Asmadi, 16
