No Image Caption

Senyum bukan sekadar tanda bahagia, tetapi juga cerminan kesihatan diri!

08 Oct 2026 12:01pm

Bagi 80 pelajar Kolej Komuniti Rembau, senyuman kini hadir bersama ilmu apabila mereka menyertai Program Transformation with 1 Smile Together) TW1ST baru-baru ini

Bertempat di Dewan Utama Kolej Komuniti Rembau, program berkenaan merupakan inisiatif strategik Program Kesihatan Pergigian, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Tinggi.

Bukan sekadar ceramah dan pemeriksaan gigi, program ini membawa mesej penting bahawa penjagaan kesihatan oral perlu menjadi sebahagian daripada gaya hidup, khususnya dalam kalangan remaja dan dewasa muda.

Menariknya, pelajar bukan sahaja diberikan pendedahan mengenai penjagaan gigi dan gaya hidup sihat, malah turut dididik tentang bahaya merokok serta penggunaan vape.

No Image Caption

Mereka juga berpeluang mendapatkan pemeriksaan dan rawatan pergigian secara percuma yang dikendalikan pasukan kesihatan pergigian.

Tidak cukup dengan itu, teknik memberus gigi yang betul turut ditunjukkan menerusi demonstrasi LMG, selain pendedahan kepada penggunaan flos bagi memastikan kebersihan mulut diberi perhatian secara menyeluruh.

Suasana program menjadi lebih santai dan interaktif menerusi pameran kesihatan pergigian, kuiz serta aktiviti Explorace yang menggabungkan unsur pendidikan, kecergasan dan kerja berpasukan.

Artikel Berkaitan:

Lebih penting, TW1ST turut menyasarkan pembentukan Ikon Gigi dan Pembimbing Rakan Sebaya yang boleh menjadi penyampai ilmu kesihatan oral kepada rakan-rakan di institusi masing-masing.

Inisiatif ini sekali gus menyokong usaha memastikan setiap pelajar mendapat sekurang-kurangnya satu pemeriksaan pergigian sepanjang tempoh pengajian.

Pelaksanaan program diselia Unit Pembangunan Pelajar yang diketuai Idayati Idris serta Sistem Penasihat Akademik (SPAK) yang diselaras Nur Alfisyahr Abdul Manaf.

Daripada sebatang berus gigi kepada satu senyuman, TW1ST membuktikan bahawa perubahan kecil boleh membawa makna besar apabila penjagaan gigi dijadikan budaya, bukan sekadar rawatan ketika sakit.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp