
UNAC terus bantu pelajar perkukuh asas perakaunan
UNITEN Accounting Club (UNAC) meneruskan usaha membantu pelajar memperkukuh asas perakaunan menerusi program Jom Skor A+ Akaun Bersama UNITEN 4.0 yang berlangsung di Kolej Vokasional (KV) Kuantan, Pahang baru-baru ini.
Program yang memasuki penganjuran kali keempat itu dianjurkan bersama USDIC, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Business School dan UNITEN Kampus Sultan Haji Ahmad Shah.
Berteraskan pendekatan pembelajaran interaktif, kolaboratif dan berorientasikan aplikasi, program itu merangkumi bengkel pengukuhan konsep perakaunan, latihan penyelesaian soalan, kuiz akademik, aktiviti berkumpulan serta sesi perkongsian ilmu yang dikendalikan mahasiswa UNITEN.

Menurut Pengarah Program, Aqilah Ayuni M Rizal, Jom Skor A+ Akaun Bersama UNITEN 4.0 bertujuan membantu pelajar memantapkan pemahaman konsep perakaunan serta membina keyakinan dalam menjawab soalan melalui bimbingan fasilitator UNITEN.
Beliau berkata, perkongsian ilmu antara mahasiswa dengan pelajar memberi ruang kepada peserta untuk bertanya, berbincang dan mendapatkan penerangan lanjut mengenai topik dipelajari.
Malah, pendekatan itu juga membantu peserta mengenali teknik pembelajaran dan penyelesaian soalan yang lebih berkesan.

Presiden UNAC, Aisyah Naziha Azarudin, yang juga Ketua Fasilitator Program berkata, penglibatan mahasiswa sebagai fasilitator dan ahli jawatankuasa memberi peluang kepada mereka mengasah kemahiran kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan.
Katanya, pengalaman menyampaikan ilmu kepada pelajar turut melatih mahasiswa untuk memberikan penerangan dengan jelas, memahami keperluan pembelajaran peserta dan melaksanakan tanggungjawab secara bersama.
Sementara itu, penganjuran program tersebut mencerminkan usaha UNAC dan UNITEN dalam menggalakkan penuntut menyumbang kepada komuniti melalui ilmu serta kemahiran dimiliki, di samping memupuk semangat kesukarelawanan.

Kesinambungan program Jom Skor A+ Akaun Bersama UNITEN diharap dapat meningkatkan minat dan motivasi pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang perakaunan, sekali gus mempererat hubungan antara universiti dengan institusi pendidikan setempat.
Maklumat penulis:
Pensyarah, merangkap Penasihat UNAC, UNITEN Business School, Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Nik Amalena Najebah Nik Azman
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my