
Jerebu di Selangor: Sekolah beroperasi seperti biasa, aktiviti luar ditangguhkan
Sekolah di bawah pentadbiran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor akan beroperasi seperti biasa pada Jumaat, 16 Oktober, namun semua aktiviti luar ditangguhkan berikutan keadaan jerebu.
Menurut kenyataan media JPN Selangor, murid yang hadir ke sekolah digalakkan memakai pelitup muka bagi mengurangkan pendedahan kepada udara yang tidak sihat.
"Ibu bapa yang bimbang akan kesihatan anak-anak juga dibenarkan tidak menghantar mereka ke sekolah dengan syarat memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.
"Bagi memastikan kesihatan warga sekolah terus terpelihara, JPN Selangor bersama pihak pentadbir akan memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) daripada Jabatan Alam Sekitar secara berkala," kata kenyataan itu pada Khamis.
JPN Selangor memaklumkan, perhatian khusus turut diberikan kepada murid yang berisiko tinggi bagi memastikan kebajikan dan kesihatan mereka sentiasa terjaga.
Sehubungan itu, ibu bapa dan penjaga dinasihatkan supaya mengikuti saluran komunikasi rasmi JPN Selangor atau pihak sekolah untuk mendapatkan maklumat yang sahih dan terkini.
