
Hari Sukan Negara 2026 himpun 300 pelajar dua institusi pendidikan
Seramai 300 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Changgang dan Kolej MARA Banting (KMB) terlibat dengan sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2026 peringkat Daerah Kuala Langat, Selangor baru-baru ini.
Menurut Pegawai Penyelaras Program, Nor Kasmawati Wan Mohd Nawi, program itu bertujuan menggalakkan penglibatan masyarakat, khususnya warga sekolah dan KMB dalam aktiviti sukan dan rekreasi menerusi pelbagai acara yang dianjurkan.
"Kita mahu menyemai budaya hidup aktif, sihat dan cergas dalam kalangan warga sekolah serta komuniti setempat.
"Oleh itu, pelbagai aktiviti dianjurkan bagi menarik penyertaan masyarakat daripada semua peringkat umur," katanya selepas majlis perasmian HSN 2026 anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Langat bersama rakan strategiknya, KMB.

Majlis disempurnakan Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah), Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat, Mohd Fazlee Mohamad Latiff.
Hadir sama Pengarah KMB, Arfaseela Amiruddin; Pegawai Belia dan Sukan Daerah, Muhamad Fadil Sulaiman; Penghulu Mukim Tanjung Dua Belas (2) dan ketua-ketua kampung sekitar.
Nor Kasmawati berkata, program bermula pada pukul 8 pagi dengan aktiviti senamrobik diikuti pelbagai acara lain seperti cabaran kecergasan, pertandingan catur, Taekwondo, bola jaring, sepak penalti, sepak raga ratus dan kabaddi.

Jelasnya lagi, selain aktiviti sukan, program turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah, jualan barangan sukan serta ruang santai Port Healing yang menampilkan sesi podcast interaktif.
"Antara topik yang diketengahkan pada sesi podcast itu melibatkan isu kesihatan mental belia bertajuk 'Belia Bebas Buli' dan 'Jana Ekonomi Belia'.
"Pengisian program terbabit memberi ruang kepada pengunjung untuk mendapatkan pendedahan, berkongsi pandangan serta meningkatkan kesedaran terhadap isu-isu semasa yang dekat dengan kehidupan golongan belia," ujarnya.