
Inspirasi ke Sekolah DRB-HICOM, Sinar Harian santuni 301 pelajar
Seramai 301 pelajar daripada tiga sekolah sekitar daerah Kluang, Johor menerima sumbangan wang tunai RM200 setiap seorang serta beg sekolah baharu menerusi Program Inspirasi ke Sekolah anjuran DRB-HICOM bersama Sinar Bestari dan Sinar Harian.
Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu bertujuan membantu meringankan beban keluarga dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak, selain menyuntik semangat mereka untuk terus cemerlang dalam pendidikan.
Ketua Pegawai Komunikasi DRBHICOM Berhad, Cairil Irwan Amir berkata, program berkenaan merupakan antara usaha mendekati masyarakat, khususnya golongan pelajar menerusi inisiatif CSR.
Menurutnya, program itu bukan sekadar menyampaikan bantuan persekolahan kepada golongan yang memerlukan, sebaliknya turut mencerminkan komitmen DRB-HICOM dalam menyokong pembangunan pendidikan serta modal insan negara.
"Kami sedar pendidikan merupakan antara perkara penting dalam membentuk masa depan anak-anak. Kami berharap usaha kecil ini dapat memberi manfaat kepada mereka dan menjadi dorongan untuk terus belajar serta mencapai kejayaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Inspirasi ke Sekolah bersama DRB-HICOM dan Sinar Bestari di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kampung Tengah, di sini pada Rabu.
Selain SK Seri Kampung Tengah, program berkenaan turut melibatkan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Kluang Barat dan SMK Felda Kahang Timur.
Cairil berkata, pihaknya juga berharap program seperti itu dapat memberi inspirasi kepada pelajar untuk mengenali potensi diri, membina keyakinan dan mempunyai cita-cita yang tinggi dalam menentukan masa depan masing-masing.
"Harapan kami supaya anak-anak terus tekun belajar, menghargai peluang yang ada dan menimba pengalaman demi membina masa depan yang lebih baik," katanya.

Tambah beliau, DRB-HICOM melaksanakan pelbagai program CSR seperti Program Inspirasi ke Sekolah secara berterusan di seluruh negara, dengan pemilihan sekolah dibuat berdasarkan keperluan semasa dan lokasi yang dikenal pasti memerlukan sokongan.
Katanya, keperluan bantuan bukan hanya tertumpu kepada sekolah di kawasan luar bandar atau pedalaman, malah terdapat juga sekolah dan komuniti di kawasan bandar yang memerlukan perhatian.
Selain wang tunai dan beg sekolah kepada pelajar, program berkenaan turut menyaksikan sumbangan set studio televisyen yang diberikan bagi kegunaan Pusat Sumber Sekolah (PSS) tiga sekolah tersebut untuk menyokong aktiviti pembelajaran lebih kreatif dan interaktif.
Sinergi korporat dan media perkasa pendidikan
Sementara itu, Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, kerjasama bersama DRB-HICOM menerusi program Inspirasi ke Sekolah yang memasuki tahun kedua itu membuktikan komitmen sektor korporat dan media dalam menyokong pembangunan pendidikan negara.
"Usaha memberi inspirasi kepada pelajar perlu diteruskan kerana golongan berkenaan merupakan generasi yang bakal mewarisi kepimpinan negara," katanya.
Katanya, inisiatif itu juga selari dengan aspirasi Malaysia 100 menuju 100 tahun kemerdekaan negara pada 2057, yang memerlukan generasi berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Mohd Khatta Mohamad menyifatkan sokongan DRB-HICOM menerusi program berkenaan sebagai usaha bermakna dalam membantu memperkukuh ekosistem pendidikan di sekolah.
Menurutnya, sumbangan yang diberikan bukan sahaja membantu memenuhi keperluan pelajar, malah kemudahan teknologi turut membuka ruang kepada mereka untuk mendapatkan maklumat dan ilmu pengetahuan dengan lebih meluas.

Perkongsian dunia pekerjaan tarik minat pelajar
Program berkenaan turut menampilkan dua sesi perkongsian ilmu membabitkan Ketua Bahagian Prototaip Proton, Asri Amat Mokito serta wakil Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Asisten Superintenden Polis Bantuan PTP (ASPPB), Muhammad Syamil A. Fazil dan Amirul Affiq Mohsen bagi memberi pendedahan mengenai bidang automotif, pembangunan prototaip, operasi pelabuhan dan peluang kerjaya.
Muhammad Syamil berkata, sambutan pelajar terhadap sesi perkongsian mengenai industri pelabuhan amat menggalakkan apabila mereka memberikan maklum balas positif sepanjang program berlangsung.
"Program seperti ini sangat bermakna kepada murid sekolah kerana mereka mendapat pendedahan daripada industri sebenar, khususnya berkaitan operasi pelabuhan yang mungkin menjadi maklumat baharu kepada sesetengah pelajar.
"Saya berharap ilmu yang dikongsikan dapat dibawa pulang dan dijadikan panduan dalam kehidupan mereka," katanya.
FOTO: HALIM WAHID
