Podcast Bual Bestari: Cerita Masa Depan ditayangkan di semua platform Sinar Bestari dan Sinar Harian. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Podcast Bual Bestari: Cerita Masa Depan ditayangkan di semua platform Sinar Bestari dan Sinar Harian. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID

UniMAP 'klinik pakar teknologi' masyarakat

UniMAP penghubung kepakaran akademik, industri dan komuniti menerusi pemindahan ilmu serta projek teknologi sebenar

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
16 Nov 2026 04:18pm

Bayangkan sebuah universiti yang bukan sahaja mengajar pelajar mencipta teknologi, malah membuka pintunya kepada masyarakat untuk mendapatkan penyelesaian terhadap pelbagai masalah.

Daripada membangunkan motosikal hibrid hingga mengajar kemahiran penyelenggaraan motosikal dan pemasangan panel solar, kepakaran akademik mempunyai nilai lebih besar apabila dikongsi bersama komuniti.

Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Profesor Dr Shahriman Abu Bakar berkata, universiti bukan sekadar tempat menimba ilmu, sebaliknya berperanan menghubungkan kepakaran akademik dengan keperluan masyarakat dan industri.

Menurutnya, usaha itu digerakkan menerusi pelbagai inisiatif pemindahan ilmu, termasuk program Service Learning Malaysia (SULAM) melibatkan pelajar Tahun Tiga dan Empat dalam projek bersama komuniti.

Menerusi program itu, pelajar mengaplikasikan kemahiran reka bentuk, kimpalan dan fabrikasi untuk menghasilkan penyelesaian seperti sistem tadahan air hujan serta teknologi pertanian lestari. 

FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID
FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID

Pendekatan pembelajaran secara praktikal turut diterapkan melalui kerjasama industri, antaranya pembangunan motosikal berasaskan retro pada tahun 2014 dan motosikal hibrid pada 2020 melibatkan pelajar prasiswazah, sarjana dan PhD.

"Pelajar akan lebih cepat memahami sesuatu apabila mereka sendiri melakukannya. Apabila memasuki alam pekerjaan, mereka sudah ada pengalaman dan pendedahan terhadap situasi sebenar," katanya dalam podcast Bual Bestari: Cerita Masa Depan kendalian Jeed Zulkefli di Studio C, Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Shahriman berkata, pendekatan itu selari konsep Quadruple Helix yang menggabungkan universiti, industri, kerajaan dan masyarakat sebagai pemacu pembangunan negara.

Bukan itu sahaja, katanya lagi, UniMAP berhasrat menjadi 'klinik pakar teknologi' dengan menawarkan kepakaran kepada komuniti, termasuk menerusi bengkel penyelenggaraan motosikal dan pemasangan panel solar secara percuma di sekolah terpilih.

"Inisiatif ini bukan sahaja mendekatkan masyarakat dengan teknologi, malah menyemai minat murid terhadap bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sejak bangku sekolah.

"Harapnya, ia dapat membina kelompok bakat masa hadapan yang bersedia memenuhi keperluan industri serta menyumbang kepada pembangunan negara," jelasnya.

FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID
FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID

Inovasi hebat dan eksperimen kecil

Minat terhadap sains dan teknologi tidak semestinya lahir daripada eksperimen rumit atau penggunaan peralatan canggih.

Sebaliknya, pengalaman menghasilkan sesuatu menggunakan bahan mudah dan kos rendah mampu membuka mata pelajar terhadap luasnya potensi ilmu kejuruteraan.

Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia, Ts Dr Nur Hidayah Ahmad Zaidi berkata, projek penapis air, Eco-Water Filter diperkenalkan kepada murid-murid di sekolah angkat termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Sirajudin dan SMK Syed Husin.

Menariknya, projek itu hanya memerlukan bahan mudah diperoleh seperti botol mineral terpakai, batu kelikir, kapas dan arang dengan kos kurang RM7.

Dari kiri Shahriman dan Nur Hidayah. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Dari kiri Shahriman dan Nur Hidayah. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID

"Pendekatan ini bermula dengan asas penting bagi mengubah persepsi bahawa sains dan teknologi merupakan bidang yang sukar.

"Mereka bukan sahaja berpeluang menghasilkan penapis air sendiri, malah didedahkan kepada proses eksperimen dan pengujian bagi memahami bagaimana sesuatu teknologi berfungsi.

"Air yang ditapis perlu melalui ujian lanjut dan tidak boleh terus diminum," katanya.

Lebih menarik, Nur Hidayah berkata, pendedahan teknologi itu turut diperluas kepada penerokaan tenaga hidrogen menggunakan air laut sebagai alternatif tenaga masa hadapan. 

Shahriman menyampaikan cenderahati kepada Editor Sinar Bestari, Nurbaya Abdul Rezak (dua dari kiri). FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Shahriman menyampaikan cenderahati kepada Editor Sinar Bestari, Nurbaya Abdul Rezak (dua dari kiri). FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID

"Bagi pelajar, inisiatif seumpama ini membuktikan bahawa ilmu yang dipelajari di universiti mempunyai nilai lebih besar apabila diterjemahkan kepada pengalaman sebenar dan dikongsi bersama masyarakat," ujarnya.

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp