
KPM rancang tambah warden asrama, perkukuh pengambilan pembantu menerusi MySTEP
Kementerian Pendidikan (KPM) memperkukuh penambahan bilangan warden asrama termasuk di sekolah berasrama penuh melalui pengambilan pembantu warden di bawah program Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP).
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, usaha itu dilaksanakan secara berperingkat, bagi menangani cabaran pengurusan asrama dan meringankan beban tugas guru yang turut memikul tanggungjawab sebagai warden.
Beliau berkata, pengambilan pembantu warden menerusi program MySTEP yang dimulakan pada tahun lepas, diteruskan tahun ini dan tahun hadapan, sebagai antara langkah menangani keperluan tenaga kerja di asrama sekolah.
"Perancangan itu memang sudah ada pada peringkat KPM untuk memastikan kita ada pertambahan warden. Memang pun kita dah usahakan, antaranya, kita ada MySTEP untuk pembantu warden. Kita dah mulakan, daripada tahun lepas kita dah tambah dan tahun ini serta tahun depan pun kita ada MySTEP," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau hari pertama peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 16(1).
Mohd Azam berkata, KPM turut memanfaatkan peningkatan kadar pengisian jawatan guru yang kini mencapai 99 peratus, berbanding sekitar 94 peratus sebelum ini bagi membantu sekolah yang berdepan kekangan tenaga warden.
Beliau berkata, terdapat negeri yang mencatatkan kadar pengisian guru sehingga 103 peratus, sekali gus membolehkan penyelarasan penempatan dibuat dengan mengambil kira keperluan sekolah berasrama.
"Guru yang lebih itu kita letakkan di sekolah-sekolah yang ada asrama supaya guru-guru ini boleh meringankan beban tugas warden," katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan peranan guru sebagai warden masih penting, kerana asrama bukan sekadar tempat penginapan atau transit murid, sebaliknya merupakan sebahagian daripada ekosistem pendidikan yang menyumbang kepada pembangunan sahsiah dan potensi mereka.
"Asrama kita ini bukan sekadar tempat tinggal, bukan sebagai tempat transit anak kita nak pergi sekolah. Sebenarnya ada proses pendidikan di situ, aktiviti-aktiviti pendidikan. Sebab itu kita perlukan cikgu yang merangka, merancang aktiviti-aktiviti pendidikan di asrama ini," katanya.
Mohd Azam berkata, KPM perlu mencari pendekatan lebih berkesan bagi mengimbangi tanggungjawab pendidikan dan pengurusan asrama, selain mengambil kira cabaran berbeza yang dihadapi sekolah mengikut lokasi.
Beliau berkata, dengan 10,259 sekolah di seluruh negara, sebarang penambahan tenaga kerja memerlukan perancangan rapi dan tidak boleh dilaksanakan secara serta-merta.
Dalam perkembangan lain, Mohd Azam berkata, KPM menyerahkan sepenuhnya siasatan kes kematian seorang pelajar di Perak kepada pihak polis, bagi memastikan siasatan dapat dijalankan tanpa sebarang gangguan.
Beliau berkata, kementerian akan terus memberikan kerjasama dan sokongan kepada pihak berkuasa, selain memastikan kebajikan keluarga pelajar terbabit serta warga sekolah mendapat perhatian sewajarnya.
Pada 18 Nov lepas, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak mengesahkan berlakunya insiden seorang murid Tingkatan 3 ditemukan meninggal dunia, di sebuah sekolah di negeri itu.
Dua hari kemudian, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, KPM sedang meneliti keperluan menambah pembantu warden serta guru bimbingan dan kaunseling, bagi memastikan pelajar mendapat perhatian dan sokongan optimum sepanjang berada di asrama. - Bernama