
TVET jadi usahawan
TVETPreneur@MSU 2026 lahir 50 pelatih berkemahiran dengan ilmu, pengalaman dan keyakinan bina perniagaan sendiri
Seramai 50 pelatih menamatkan program TVETPreneur@MSU 2026 anjuran Management and Science University (MSU).
Program selama tiga bulan yang berlangsung dari Julai hingga Oktober lalu di kampus induk MSU, Shah Alam itu bertujuan melahirkan usahawan baharu melalui gabungan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), latihan praktikal serta dunia perniagaan.
Inisiatif itu bukan sekadar menyediakan peserta untuk memasuki alam pekerjaan, malah memupuk keberanian dan keupayaan mereka mencipta peluang pekerjaan sendiri serta menyumbang kepada ekonomi negara.
Peserta terdiri daripada pelatih GIATMARA, Kolej Vokasional, PERHEBAT, politeknik, Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka.
Sepanjang program, mereka melalui tiga fasa utama merangkumi pembelajaran teori, bimbingan mentor dan pembangunan perniagaan sebelum membentangkan idea masing-masing menerusi sesi startup pitching.
Menariknya, program ini memberi tumpuan kepada lima kluster perniagaan iaitu barangan elektrik dan automotif; pembinaan dan pertanian; makanan dan minuman; spa, kecantikan dan kesihatan; serta perkhidmatan jahitan.
Sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian peserta, empat individu turut menerima anugerah khas atas komitmen, kepimpinan dan potensi keusahawanan.
Mereka ialah Mohd Razali Hashim dari PERHEBAT yang menerima Entrepreneurial Leadership Excellence Award, manakala Nor Iffatul Insyirah Mohd Jamaluntaufik dari Kolej Vokasional meraih Entrepreneurial Commitment Award.
Mohammad Luqman Borhan dari GIATMARA pula menerima Rising Star Entrepreneur Award, sementara Azlan Abu Bakar dari PERHEBAT dinobatkan sebagai Best Pitch Presenter.
Program ini mendapat kerjasama dan sokongan Majlis TVET Negara, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
