10 lubang benam paling terkenal di dunia
Fenomena geologi lubang benam (sinkhole) terus menarik perhatian saintis dan orang awam kerana keajaiban semula jadi itu sememangnya mengagumkan selain berpotensi memberi impak dahsyat termasuk meragut nyawa.
Kemunculan lubang misteri dari permukaan bawah laut hingga rongga daratan telah mencetuskan persoalan kepada banyak pihak kerana ciri luar biasa yang tersendiri.
Ia jelas menunjukkan tentang sifat bumi yang sentiasa berubah-ubah.
Berikut adalah 10 lubang benam terkenal di dunia dengan kisah menarik tersendiri, asal usul geologi unik dan kesannya terhadap landskap sekitarnya.
1) Great Blue Hole (Belize)
Ia merupakan lubang benam bawah laut yang terkenal di dunia dan turut menjadi lokasi eksplorasi ikonik buat penyelam. Keajaiban marin ini terletak di luar pantai Belize, di tengah-tengah Lighthouse Reef Atoll di perairan Laut Caribbean. Ia berdiameter kira-kira 300 meter (m) dengan kedalaman 124m.
2) Dean’s Blue Hole (Bahamas)
Keajaiban semula jadi ini adalah lubang benam paling dalam yang dikenali sebagai 'blue hole' dengan kedalaman lebih 200m. Ia terletak di Long Island dengan air sejernih kristal dan menarik perhatian para penyelam yang mahu meneroka misteri dan keindahan menakjubkan.
3) Xiaozhai Heavenly Pit (China)
Ia terletak di daerah Fengjie dan turut dikenali sebagai Xiaozhai Tiankeng. Lubang benam dengan dimensi unik ini berdiameter lebih 511m dan mempunyai kedalaman yang sama. Ia dikelilingi oleh tumbuh-tumbuhan yang subur dan cenuram batu kapur yang curam serta disifatkan sebagai keajaiban geologi.
4) Devil’s Sinkhole (AS)
Lubang benam gua berdinding menegak yang muncul Amerika Syarikat (AS) ini menjadi bukti pembentukan fenomena geologi di Texas. Ia terletak di daerah Edwards dan bentuknya yang unik telah menjadi habitat koloni besar kelawar 'ekor bebas' selain destinasi utama buat pencinta alam semula jadi.
5) Gunung Gambier (Australia Selatan)
Ia terkenal kerana gabungan unik aktiviti vulkanik dan lubang benam. Antara ciri paling terkenal ialah Tasik Biru selain lubang benam Umpherston iaitu sebuah gua batu kapur yang telah berubah menjadi 'taman tenggelam' dengan tumbuhan yang subur dan formasi batuan yang menarik.
6) Red Lake (Croatia)
Keajaiban semula jadi ini turut dikenali sebagai Crveno Jezero yang terletak di tengah-tengah Dalmatian Hinterleand. Lubang benam ini adalah yang terbesar di dunia dan namanya berasal dari tebing kemerah-merahan yang mengelilinginya. Ia juga menawarkan peluang unik untuk meneroka hubungan saling berkaitan antara permukaan dan sistem akuifer bawah tanah.
7) Sima Humboldt dan Sima Martel (Venezuela)
Lubang benam berkembar, Sima Humboldt dan Sima Martel terletak di kawasan terpencil Chimantá Massif. Lubang benam ini antara yang paling dalam di dunia, dikelilingi oleh hutan hujan yang subur dan hutan belantara yang belum pernah diterokai.
8) Giant Glory Hole, Monticello Dam (AS)
Lubang benam buatan manusia di Empangan Monticello di California ini mempamerkan kepintaran dalam bidang kejuruteraan dan keindahan alam semula jadi. Lubang benam alur tumpahan berdiameter 22m ini dibina untuk menguruskan air berlebihan di Tasik Berryessa seperti 'pusaran gergasi'.
9) Lubang benam Guatemala City Guatemala
Ia adalah peristiwa geologi yang menggemparkan pada 2010 dan menarik perhatian dunia kerana telah mengubah landskap ibu kota Guatemala. Lubang benam berdiameter 20m dengan kedalaman lebih 30m ini muncul secara tiba-tiba selepas hujan lebat berterusan dan kejadian paip kumbahan yang pecah hingga menyebabkan pemendapan tanah.
10) Sotano de las Golondrinas (Mexico)
Cave of Swallows ini terletak di wilayah Huasteca Potosina ini adalah lubang benam gergasi dengan dinding menegak yang menjunam pada kedalaman kira-kira 370m. Ia mendapat namanya daripada habitat kumpulan besar burung walit dan burung bayan hijau selain menjadi tumpuan utama penggemar aktiviti lasak.