Anwar mempengerusikan mesyuarat berkaitan semakan semula MPU di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya. Foto: Pejabat Perdana Menteri
Anwar mempengerusikan mesyuarat berkaitan semakan semula MPU di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya. Foto: Pejabat Perdana Menteri

PM arah KPT bincang dengan KPM pastikan Bahasa Melayu, Sejarah diutamakan

30 Sep 2025 04:36pm

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah diarahkan untuk berbincang dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan subjek teras seperti Bahasa Melayu dan Sejarah diberikan keutamaan termasuk di sekolah swasta dan antarabangsa.

Beliau berkata, arahan itu adalah sebahagian daripada cadangan semakan semula Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU) yang dibentangkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pagi Selasa.

"Semakan ini penting untuk menambah baik kandungan, bilangan dan pendekatan MPU agar lebih segar, relevan serta berkesan dalam membina nilai kenegaraan dan semangat patriotisme,” katanya dalam catatan terbaharu di platform media sosial.

Perdana Menteri berkata, cadangan semakan semula MPU dirangka hasil libat urus bersama pelbagai pihak termasuk sarjana, universiti awam, Agensi Kelayakan Malaysia, Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Kementerian Pertahanan melalui kajian keberkesanan serta hala tuju baharu pelaksanaan MPU.

Anwar berkata, pelaksanaan MPU yang disemak semula itu juga akan diperluas bukan sahaja di universiti awam dan swasta tetapi turut meliputi semua institut latihan di negara ini.

Beliau berkata, usul itu juga akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri sebagai langkah memperkukuh kesedaran kebangsaan demi melahirkan generasi berilmu, berjiwa besar dan cintakan negara. - Bernama

 

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarah Kementerian Pendidikan Tinggi berbincang dengan Kementerian Pendidikan untuk memberi keutamaan pada Bahasa Melayu dan Sejarah di sekolah swasta dan antarabangsa
  • Semakan semula Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU) bertujuan untuk memperbaharui kandungan dan pendekatan agar lebih relevan serta meningkatkan nilai kenegaraan dan patriotisme
  • Cadangan semakan semula MPU adalah hasil libat urus dengan pelbagai pihak termasuk sarjana, universiti awam, dan agensi kerajaan
  • Pelaksanaan MPU yang disemak semula akan diperluas ke semua institut latihan di Malaysia
  • Usul semakan semula MPU akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri sebagai usaha memperkuat kesedaran kebangsaan dan melahirkan generasi yang berilmu dan cintakan negara
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp