Untitled (2)
Untitled (2)

109 kakitangan UMK terima anugerah universiti tahun 2020

Nor Azma  Muhamat Laila
24 Aug 2021 06:41pm
A
A
A

BACHOK - Seramai 101 orang kakitangan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) di atas sumbangan yang cemerlang sepanjang tahun 2020.

Penerima APC 2020 menerima insentif berupa hadiah wang tunai dalam bentuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bernilai RM1,000 dan sijil perkhidmatan cemerlang.

Turut diraikan enam orang penerima Anugerah Jasa Bakti (AJB) dan dua orang penerima Anugerah Jasa Setia (AJS).

Masing- masing menerima sijil penghargaan, plak dan wang tunai.

Majlis perasmian APC 2020 telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMK, Prof Datuk Dr Noor Azizi Ismail, yang diadakan secara dalam talian menerusi Facebook Rasmi UMK, baru-baru ini.

Menurut Dr Noor Azizi, pada tahun ini UMK meraikan kecemerlangan staf dalam norma baharu berikutan pandemik Covid-19 yang masih melanda.

Beliau berkata, walaupun dalam situasi itu tidaklah bermakna UMK melupakan jasa bakti semua kakitangan UMK yang telah bersungguh-sungguh bertugas dengan penuh dedikasi.

"Saya yakin, staf UMK tetap bertugas dengan penuh komitmen dan bukannya mengharapkan penghargaan. Sedar atau tidak, setiap tugasan yang dilakukan adalah memberi impak kepada diri kita, UMK dan masyarakat di sekeliling.

"Setiap perkhidmatan yang ikhlas, kita akan peroleh apa yang kita ingini, namun paling penting bagi saya adalah, niat. Niat kita laksanakan tugas adalah kerana ALLAH dan ingin berbakti kepada semua melalui UMK," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok