Peserta pertandingan Worldskills Malaysia 2025 University Challenge tidak hilang tumpuan meskipun soalan mengikut standard peringkat dunia diberikan.
Peserta pertandingan Worldskills Malaysia 2025 University Challenge tidak hilang tumpuan meskipun soalan mengikut standard peringkat dunia diberikan.

Benteng siber masa hadapan

Pelajar perlu kuasai kriptografi dan kemahiran keselamatan digital

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
30 Jun 2025 10:33am

Keselamatan siber merujuk kepada perlindungan sistem komputer, rangkaian, peranti dan data daripada akses atau penggunaan yang tidak dibenarkan.

Walaupun dunia kini bergerak pantas ke arah digital, namun di sebalik kemudahan yang dinikmati, tersembunyi ancaman yang kian meruncing.

Ketua Hakim bidang Keselamatan Siber, Worldskills Malaysia University Challenge (WSMUC), Profesor Madya Dr Ahmad Shahrafidz Khalid berkata, subjek teras yang perlu difokuskan oleh pelajar ialah kriptografi untuk menyembunyikan atau menyulitkan data dibaca oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, ia mendedahkan teknik untuk mengenal pasti, menilai, mengurangkan dan memantau ancaman yang menjejaskan keselamatan organisasi.

"Sejak kebelakangan ini, banyak serangan dalam bentuk ransomeware atau memerlukan mangsa membayar wang tebusan untuk mendapatkan semula data mereka.

Ahmad Shahrafidz
Ahmad Shahrafidz

"Pencurian data, penyamaran untuk mendapatkan data privasi mangsa, untuk tujuan transaksi pembayaran dan serangan penafian perkhidmatan teragih bertujuan melumpuhkan sistem perkhidmatan keseluruhannya," katanya secara eksklusif kepada Sinar Bestari.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian sewaktu Pertandingan Worldskills Malaysia 2025 University Challenge di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) baru-baru ini.

Ahmad Shahrafidz berkata, pemahaman pelajar tentang ancaman dan cara untuk mencegah atau mengurangkan risiko dapat membantu mereka menjalankan tugasan sebagai pegawai keselamatan siber di masa akan datang.

Jelasnya, itulah antara kerjaya yang ditawarkan sekiranya graduan mengambil laluan dalam bidang berkenaan.

"Sebenarnya, hampir semua sektor tidak kira syarikat besar mahupun kecil memerlukan pegawai keselamatan siber. Ia termasuk perkhidmatan awam, perbankan dan teknologi maklumat," katanya.

No Image Caption

Perketat penilaian program IPT

Bagi memastikan graduan bidang keselamatan siber bersedia menghadapi ancaman digital dunia sebenar, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) melaksanakan penilaian bertingkat yang lebih menyeluruh terhadap program berkaitan yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi (IPT).

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, bidang terbabit dinilai lebih mendalam berbanding teknologi maklumat umum kerana sifatnya sentiasa berubah, kritikal dan berisiko tinggi.

"Pihak kami menilai kualiti kurikulum program ini melalui proses penilaian bertingkat yang melibatkan akreditasi sementara, penuh dan audit berkala.

"Pada peringkat sementara itu, institusi perlu membuktikan kesesuaian reka bentuk kurikulum termasuk pematuhan terhadap Body of Knowledge, kelayakan tenaga pengajar dan keupayaan sumber.

"Ketika akreditasi penuh, MQA akan menilai pelaksanaan sebenar termasuk penggunaan makmal siber, latihan industri dan kaedah penilaian pelajar," kata beliau.

Mohammad Shatar
Mohammad Shatar

Tambah Mohammad Shatar, penilaian yang ketat berkenaan penting supaya institusi tidak sekadar melahirkan graduan dengan sijil tetapi juga mahukan pelajar memiliki kemahiran sebenar.

Secara tidak langsung, mereka dapat menangani isu keselamatan digital yang semakin mencabar di zaman teknologi kini.

"Kualiti program perlu seiring dengan keperluan semasa industri. Kita mahu pastikan pelajar tidak sekadar belajar teori, tetapi juga menguasai kemahiran kritikal dalam dunia sebenar," katanya.

No Image Caption

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp