PENGALAMAN...Peserta menghasilkan video mengikut jabatan yang ditugaskan.
PENGALAMAN...Peserta menghasilkan video mengikut jabatan yang ditugaskan.

Gilap bakat perintis muda TV PSS

Latihan Industri TV PSS 2.0 kembangkan skil pelajar

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
30 Jun 2025 02:30pm

Latihan Industri TV Pusat Sumber Sekolah (PSS) 2.0 bukan sekadar platform pembelajaran, malah medan mencungkil dan mencorak bakat pelajar dalam bidang media serta penyiaran.

Menerusi pendekatan berasaskan amali dan pengalaman sebenar, program ini memberi ruang kepada pelajar sekolah rendah dan menengah yang berbakat meneroka dunia produksi video, suntingan serta penulisan skrip dengan lebih mendalam.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP) Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), penyertaan daripada pelajar membuktikan bahawa bakat dalam bidang media wujud dan perlu terus digilap serta diketengahkan.

"Terima kasih diucapkan kepada seluruh tenaga pengajar dan fasilitator daripada Sinar Bestari yang mencurahkan ilmu, memberikan bimbingan serta berkongsi pengalaman sepanjang sesi latihan berlangsung.

No Image Caption

"Insya-ALLAH kerjasama antara SSTP dan Akademi Pendidikan Sinar Bestari dalam melaksanakan program ini akan diteruskan untuk memberi peluang kepada sekolah-sekolah khususnya Selangor.

"Semoga segala ilmu dan kemahiran yang diperoleh dapat dimanfaatkan sepenuhnya di peringkat sekolah masing-masing serta menjadi pemangkin kepada lebih banyak penerbitan kandungan digital yang kreatif," maklumnya.

Artikel Berkaitan:

Program Latihan Industri TV PSS itu berjaya menghimpunkan sebanyak 21 sekolah dari seluruh negeri Selangor bagi membuka ruang kepada pelajar untuk menerokai dunia penyiaran, penerbitan kandungan dan media digital secara lebih mendalam.

Program itu turut dilaksanakan selama dua hari yang berakhir pada 25 Jun di Dewan Karangkraf, Shah Alam, Selangor. 

No Image Caption

Sementara itu, Pengetua Akademi Pendidikan Sinar Bestari, Meen Tahrin berkata, Latihan Industri TV PSS 2.0 tersebut memberi peluang kepada pelajar untuk menimba pengalaman sebenar dalam kerjaya sebagai wartawan.

Dengan program ini, mereka berpeluang mendapatkan bimbingan daripada wartawan profesional.

"Ia pendedahan awal yang sangat berharga dalam dunia media dan juga penyiaran.

"Latihan Industri TV PSS ini bukan sahaja mendedahkan pelajar kepada kerjaya, namun secara tidak langsung ia turut memberi pengetahuan tentang kemahiran temu bual, teknik suntingan dan meningkatkan keyakinan diri pelajar," katanya selepas Majlis Penutup Latihan Industri TV PSS 2.0.

No Image Caption

Sehubungan itu, Meen berharap agar ilmu yang dicurahkan sepanjang program dua hari itu dapat digunakan sekali gus dikembangkan melalui aktiviti di sekolah masing-masing.

1) "Ini pertama kali saya sertai program Latihan Industri TV PSS. Saya berasa sangat seronok sebab ada banyak perkara baharu yang dipelajari dan kami diagihkan kepada beberapa kumpulan. Jadi, peserta juga dapat berkenalan dengan rakan-rakan baharu. Apa yang diajar oleh tenaga pengajar merangkap Editor Sinar Bestari, Nurbaya Abdul Rezak dan Muhammad Ikhwan Muhamad Azahari juga banyak membantu kami mengetahui asas tentang dunia media." - Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jawa 2, Klang, Muhamad Nazim Nizar Mohd Afzanizam, 10.

Muhamad Nazim Nizar
Muhamad Nazim Nizar

2) "Latihan Industri TV PSS 2.0 ini antara program yang menarik saya pernah sertai. Walaupun cita-cita saya ingin menjadi seorang peguam dan tidak memerlukan pengetahuan tentang produksi atau media, namun tetap berasa seronok untuk belajar perkara baharu terutama untuk menjadi wartawan, belajar penyuntingan video dan mengambil gambar dengan sudut yang betul." - Pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Simpang Lima, Klang, Theshmita Ganeshnadar, 11.

Theshmita
Theshmita

3) "Ini kali pertama saya menyertai Latihan Industri TV PSS 2.0. Memang seronok sangat dapat banyak ilmu baharu. Kami belajar banyak perkara di luar kemampuan kami. Apabila di sekolah, kita rasa macam sudah tahu banyak perkara tetapi sebaliknya apabila berada di program ini. Walaupun telah banyak kali bertugas, rupa-rupanya itu hanya tugasan yang biasa." - Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Raja Zarina, Aida Raihanah Muhamad Saadan, 14.

Aida Raihanah
Aida Raihanah

4) "Pelajar yang kami hantar ke program Latihan Industri TV PSS 2.0 ini merupakan individu yang berpotensi dan kemahirannya boleh digilap dari masa ke masa. Kekuatan yang pihak penganjur beri juga banyak dan sangat baik seperti teknik menghasilkan video terbaik. Pihak penganjur boleh tambah baik dari segi tugasan yang diberikan kepada guru. Mungkin kru boleh tambah waktu untuk pelajar lakukan tugasan dan bukan pergi ke satu jabatan sahaja." - Guru Perpustakaan dan Media SK Bandar Seri Putra, Hulu Langat, Norumazah Hashim.

Norumazah
Norumazah

INFO

Sekolah yang terlibat

1) SMK La Salle

2) SMK Tengku Ampuan Rahimah, Klang

3) SMK Pulau Indah

4) SMK Seksyen 19

5) SMK Kampung Jawa, Klang

6) SMK (P) Raja Zarina, Klang

7) SMK Saujana Utama

No Image Caption

8) SMK Rantau Panjang, Klang

9) SMK Sungai Kapar Indah

10) SK Sinaran Budi, Gombak

11) SK Seksyen 20, Klang

12) SK Kampung Medan

13) SK Meru 2

14) SK Bandar Seri Putra

No Image Caption

15) SK Kampung Johan Setia

16) SK Saujana Utama

17) SK Kampung Jawa 2

18) SK Seksyen 19

19) SK Methodist ACS Klang

20) SK Puchong Indah

21) SJKT Simpang 5, Klang

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp