
11,155 calon PSRA 2025 peroleh Mumtaz - Mohd Shahzihan
Peratus calon memperoleh pangkat Mumtaz bagi Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) 2025 melonjak ketara sekali gus menjadi indikator utama peningkatan prestasi keseluruhan peperiksaan itu tahun ini.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, sebanyak 24.1 peratus atau 11,155 calon mencapai pangkat Mumtaz berbanding 20.5 peratus atau 9,178 calon pada tahun lalu.
"Peningkatan ini menunjukkan usaha berterusan para murobbi, kesungguhan murid, sokongan ibu bapa dan kerjasama komuniti yang terus kukuh," katanya pada Majlis Pengumuman Keputusan PSRA 2025 pada Khamis.
Mohd Shahzihan berkata, selain peningkatan calon Mumtaz, jumlah calon mendapat Jayyid Jiddan (sangat baik) turut meningkat ketara kepada 41.6 peratus (19,305 calon) berbanding 33.2 peratus (14,865) calon tahun lalu.

"Sementara itu, calon memperoleh Jayyid menurun sedikit kepada 19.9 peratus, manakala kategori Maqbul dan Musaadah menunjukkan penurunan lebih besar berbanding tahun sebelumnya," katanya.
Beliau berkata, dari segi prestasi mata pelajaran, hampir semua kertas menunjukkan peningkatan termasuk Akhlak dan Sirah, Bahasa Arab, Tauhid dan Fekah serta Tajwid yang masing-masing mencatat lonjakan sehingga lebih enam hingga 10 peratus.
"Kertas Tilawah dan Hafazan pula mengekalkan rekod 99.9 peratus lulus," ujar beliau.
Mohd Shahzihan memberitahu, peningkatan itu juga membawa kepada penambahbaikan Gred Purata Negeri (GPN) kepada 2.21 berbanding 2.53 pada tahun lalu, sekali gus menandakan prestasi keseluruhan lebih cemerlang.

Sehubungan itu, tegas beliau, JAIS akan terus mengambil langkah sewajarnya bagi mempertingkatkan mutu PSRA pada masa akan datang.
"Kita berharap agar kecemerlangan tahun ini menjadi asas kukuh kepada pencapaian yang lebih baik pada tahun berikutnya," tambahnya.
Ringkasan AI
- Peratus calon memperoleh pangkat Mumtaz dalam PSRA 2025 melonjak kepada 24.1 peratus
- Peningkatan prestasi adalah hasil usaha murobbi, kesungguhan murid, sokongan ibu bapa dan kerjasama komuniti
- Jumlah calon mendapat Jayyid Jiddan meningkat kepada 41.6 peratus
- Hampir semua kertas peperiksaan menunjukkan peningkatan prestasi, kertas Tilawah dan Hafazan mengekalkan rekod 99.9 peratus lulus
- Peningkatan prestasi membawa kepada penambahbaikan Gred Purata Negeri kepada 2.21
