1277980.jpg
1277980.jpg

152 pelajar keracunan makanan, kantin sekolah diarah tutup

webadmin
24 Nov 2021 10:47am
A
A
A

SEREMBAN - Kantin Sekolah Menengah (SM) Sains Tuanku Aishah Rohani di sini diarah tutup susulan 152 pelajarnya mengalami gejala keracunan makanan termasuk muntah, sakit perut dan cirit-birit selepas makan di situ pada Isnin.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, pelajar berkenaan telah dibawa ke hospital berdekatan serta-merta bagi menerima rawatan dan kesemua kes adalah stabil selain tiada kemasukan ke wad.

Katanya, penutupan tempat penyediaan makanan itu dibuat di bawah Seksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi mengelakkan berlakunya pertambahan kes baharu daripada punca premis yang sama.

“Pemeriksaan premis dan aktiviti persampelan juga telah dijalankan. Sampel klinikal daripada kes-kes, makanan dan persekitaran dihantar ke makmal untuk dianalisis selain pemantauan wabak akan dilakukan sehingga situasi stabil.

“Siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian keracunan makanan ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, taklimat kesihatan telah diberikan kepada semua pelajar terlibat, pengusaha dan semua pengendali makanan di dapur asrama tersebut dengan keadaan semasa adalah terkawal.

Menurut Veerapan, Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) pada Isnin menerima laporan 152 daripada 597 pelajar yang terdedah iaitu dengan kadar serangan 25.5 peratus dipercayai mengalami keracunan makanan dengan gejala utama sakit perut, loya, sakit kepala, muntah dan demam. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok