Ahmad Fikri (tengah) ditemani ibu bapa menerima penghargaan daripada Najmuddin (dua dari kiri).
Ahmad Fikri (tengah) ditemani ibu bapa menerima penghargaan daripada Najmuddin (dua dari kiri).

18 jam cetak sejarah...

Disiplin, istiqamah dan kesungguhan rahsia Ahmad Fikri

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
05 Jan 2026 12:30pm

Dalam dunia pendidikan tahfiz yang menuntut ketahanan minda dan rohani, kejayaan tidak hadir secara kebetulan.

Bagi Ahmad Fikri Abdul Hisham, setiap ayat al-Quran yang dihafaz adalah hasil disiplin harian, istiqamah tanpa jemu serta kesungguhan yang diuji pada tahap tertinggi.

Melalui satu penilaian intensif selama 18 jam, Ahmad Fikri berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk al-Quran sekali gus melayakkan dirinya menerima Syahadah Ula, pengiktirafan tertinggi dalam hafazan al-Quran.

“Alhamdulillah, menerusi pembacaan syahadah ini, saya memperoleh pangkat Mumtaz kerana bacaan diperdengarkan tanpa sebarang kesalahan.

“Saya berharap kejayaan ini dapat menjadi contoh dan pembakar semangat kepada rakanrakan seperjuangan yang lain,” katanya.

Pencapaian luar biasa itu bukan sahaja mencerminkan kekuatan ingatan, malah memperlihatkan keupayaan seorang pelajar tahfiz muda mengawal tekanan, keletihan dan emosi demi memastikan setiap lafaz kekal tepat hingga ke penghujung surah.

Ahmad Fikri
Ahmad Fikri

Artikel Berkaitan:

Pelajar tingkatan empat Maahad Tarbiah Mardhiah Panchor (MTM) di Kota Bharu itu turut berkongsi amalan menghafaz al-Quran selama 30 minit selepas solat yang dilakukannya sejak usia 13 tahun.

"Saya cuba membahagikan masa secara konsisten selepas setiap solat. Walaupun singkat, ia dilakukan setiap hari. Saya tidak menyangka amalan ini membolehkan saya menamatkan bacaan hafazan dalam tempoh yang singkat," katanya lagi.

Syahadah Ula tunggal dalam 15 tahun

Kejayaan Ahmad Fikri Abdul Hisham menamatkan Syahadah Ula dalam tempoh hanya 18 jam disifatkan sebagai pencapaian luar biasa dan melakar sejarah tersendiri di Maahad Tarbiah Mardhiah Panchor (MTM).

Pengetuanya, Najmuddin Abdullah berkata, kebiasaannya seorang pelajar tahfiz memerlukan sekurang-kurangnya tiga hari untuk menghabiskan bacaan syahadah 30 juzuk al-Quran.

Menurutnya, secara umum pelajar akan membaca sekitar 10 juzuk sehari, namun Ahmad Fikri berjaya menyelesaikan keseluruhan bacaan dalam masa kurang daripada satu hari.

Lebih membanggakan, pencapaian itu dilakukan atas kehendak sendiri tanpa sebarang paksaan atau tekanan daripada pihak sekolah.

“Kebiasaannya, pelajar akan buat 10 juzuk sehari, tetapi Ahmad Fikri hanya ambil masa 18 jam dalam tempoh yang sama,” katanya.

Tambah Najmuddin, sepanjang 15 tahun aliran tahfiz diwujudkan, tiada pelajar yang pernah menamatkan hafazan 30 juzuk, sebaliknya kebanyakan hanya mencapai sehingga 15 juzuk.

Beliau menjelaskan, MTM pada asalnya merupakan maahad biasa dan hanya mempunyai satu kelas aliran tahfiz diwujudkan hasil cetusan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor yang juga Speaker Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah.

“Mengikut sukatan, pelajar hanya diwajibkan menghafaz tiga juzuk setahun bermula tingkatan satu hingga tingkatan lima. Ini bermakna apabila tamat pengajian, mereka hanya perlu menghabiskan sekitar 15 juzuk al-Quran,” katanya.

Namun, Ahmad Fikri membuktikan keupayaan luar biasa apabila berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk ketika di tingkatan tiga, sebelum melalui ujian syahadah pada tingkatan empat.

Kejayaan itu sekali gus mengangkat nama institusi serta membuktikan bahawa dengan disiplin, istiqamah dan kesungguhan, pelajar aliran tahfiz mampu mencapai kecemerlangan yang melangkaui kebiasaan.

Ringkasan AI

  • Dalam dunia pendidikan tahfiz, kejayaan memerlukan ketahanan minda dan rohani
  • Ahmad Fikri Abdul Hisham berjaya hafaz 30 juzuk al-Quran dan menerima Syahadah Ula
  • Penilaian untuk Syahadah Ula dilakukan dalam satu sesi intensif selama 18 jam
  • Pencapaian Ahmad melakar sejarah di Maahad Tarbiah Mardhiah Panchor sebagai Syahadah Ula tunggal dalam 15 tahun
  • Disiplin, istiqamah dan amalan menghafaz al-Quran secara konsisten adalah kunci kejayaannya
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp