Lebih membanggakan, Ahmad Fikri merupakan anak kelahiran Kampung Limau Kasturi, Gua Musang, hasil didikan pasangan pendidik iaitu Abdul Hisham, seorang guru agama dan Rohaizah (guru KAFA). Kredit foto: Facebook Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan
Lebih membanggakan, Ahmad Fikri merupakan anak kelahiran Kampung Limau Kasturi, Gua Musang, hasil didikan pasangan pendidik iaitu Abdul Hisham, seorang guru agama dan Rohaizah (guru KAFA). Kredit foto: Facebook Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan

'30 juzuk dalam sehari, tanpa silap!' - Kehebatan Ahmad Fikri mengejutkan warga maya

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
26 Dec 2025 12:01pm

Pencapaian luar biasa seorang pelajar Maahad Tarbiah Mardhiah Panchor (MTM), Kota Bharu, Kelantan, Ahmad Fikri Abdul Hisham, mencuri perhatian ramai apabila berjaya menamatkan Syahadah Hafazan al-Quran kategori 30 juzuk hanya dalam tempoh sehari, sekali gus meraih pangkat Mumtaz tanpa sebarang kesalahan.

Kehebatan remaja berusia 16 tahun itu nyata mengejutkan dan membanggakan warga maya apabila berita berkenaan tular di pelbagai platform media sosial.

Rata-rata netizen meluahkan rasa teruja, terharu dan kagum terhadap kemampuan Ahmad Fikri yang disifatkan sebagai satu pencapaian luar jangka bagi anak muda seusianya.

Lebih membanggakan, Ahmad Fikri merupakan anak kelahiran Kampung Limau Kasturi, Gua Musang, hasil didikan pasangan pendidik iaitu Abdul Hisham Daud, 54, seorang guru agama dan Rohaizah Mat Naing, 49, guru Kelas Asas Fardu Ain (KAFA).

Tinjauan Sinar Bestari di media sosial pada Jumaat mendapati ratusan malah ribuan komen positif membanjiri ruangan komen, dengan ramai menyifatkan Ahmad Fikri wajar diangkat sebagai ikon anak Kelantan serta contoh terbaik generasi muda berteraskan al-Quran.

No Image Caption

Antara komen yang mencuri perhatian ialah daripada Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan yang menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil komitmen berterusan ibu bapa, guru serta Yayasan Islam Kelantan (YIK) dalam melahirkan generasi huffaz yang cemerlang.

Artikel Berkaitan:

"Tahniah diucapkan kepada Ahmad Fikri Abdul Hisham. Setinggi-tinggi tahniah juga kepada ibu bapa, para guru serta YIK atas usaha berterusan melahirkan generasi huffaz yang unggul. Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga Kelantan." 

Sementara itu, Rohani Mohamed menyifatkan kejayaan tersebut sebagai bukti kehebatan anak Kelantan dalam bidang pengajian agama sejak dahulu.

"Anak Kelantan memang hebat dalam pengajian agama dari dulu lagi." 

Bagi Wan Lah, pencapaian seumpama itu wajar diberi pengiktirafan lebih besar.

"Alhamdulillah, kejayaan seperti ini patut diberi pelbagai anugerah dan insentif oleh kerajaan. Semoga menjadi ikutan." 

Nada sama turut dikongsi Norhaslinda Nudin yang melihat Ahmad Fikri sebagai sumber inspirasi generasi muda.

"Alhamdulillah, tahniah dik! Inspirasi buat anak muda yang lain." 

Manakala Zahratu Syuhada Mohd Yazair pula menzahirkan penghargaan kepada kedua-dua ibu bapa Ahmad Fikri.

"Tahniah buat bonda dan ayahandanya kerana berjaya membimbing dan membentuk anak menjadi insan luar biasa." 

Tidak kurang juga yang mendoakan kesejahteraan masa depan Ahmad Fikri seperti Anggerik Anim.

"Alhamdulillah, anugerah daripada ALLAH. Moga terus berjaya dunia dan akhirat." 

Mohd Rafie Mat Jusoh pula meluahkan rasa bangga kerana kejayaan itu mengharumkan nama negeri Kelantan.

"Semoga anakku sehebatmu nanti. Tahniah harumkan negeri Kelantan kita." 

Sementara Nor Aini Nor Aini menyifatkan Ahmad Fikri sebagai bakal pemimpin generasi muda, manakala Azlinda Abd Rahman menganggap remaja itu wajar dijadikan idola.

"Subhanallah, hebatnya kejadian ALLAH SWT. Anda patut jadi idola seantero dunia. Semoga hidup adik sentiasa diberkati dan dipermudahkan urusan dunia serta akhirat." 

Kami di Sinar Bestari juga tidak ketinggalan untuk mengucapkan tahniah kepada Ahmad Fikri atas pencapaian luar biasa ini.

Kehebatan adik ini bukan sahaja membanggakan negeri Kelantan, malah menjadi inspirasi kepada seluruh generasi muda untuk mengejar ilmu dan menghafaz al-Quran dengan penuh dedikasi.

 

 

Ringkasan AI

  • Ahmad Fikri Abdul Hisham, pelajar Maahad Tarbiah Mardhiah Panchor dari Kelantan, berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam sehari dengan keputusan Mumtaz
  • Usianya baru 16 tahun dan pencapaiannya mendapat perhatian luas di media sosial
  • Datang dari keluarga pendidik di Gua Musang, ibubapa dan guru-guru memainkan peranan penting dalam kejayaannya
  • Pencapaiannya dianggap sebagai inspirasi bagi generasi muda dan simbol kecemerlangan Kelantan dalam pendidikan agama
  • Banyak netizen dan pihak berwajib mengucapkan tahniah dan melihat Ahmad Fikri sebagai contoh terbaik dan inspirasi bagi masyarakat
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp