Mohd Na'im
Mohd Na'im

19,266 calon peroleh 8A UPKK 2022

ROSHLAWATY MD RAIEH
10 Mar 2023 02:24pm
A
A
A

Keputusan bagi Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) tahun 2022 baru sahaja diumumkan semalam.

Rata-rata ibu bapa dan penjaga melonjak kegembiraan apabila anak mereka mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan kendalian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Keputusan cemerlang seperti 8A; 7A 1B; 6A 2B dan sebagainya telah diraikan dengan penuh kegembiraan oleh ibu bapa dan penjaga bersama anak-anak mengikut cara masing-masing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, seramai 19,266 calon daripada 234,931 murid yang menduduki UPKK tahun 2022 mencatat keputusan 8A.

Ujarnya, peratus lulus keseluruhan calon UPKK 2022 adalah 88 peratus manakala pencapaian Gred Purata Skor UPKK secara keseluruhan ialah 1.99 mata.

“UPKK 2022 melibatkan lapan mata pelajaran iaitu Bidang Pengajian al-Quran; Ulum Syariah (Akidah dan Ibadah); Sirah; Adab (Akhlak Islamiyah); Jawi, Imlak dan Khat; Asas Lughatul Quran; Penghayatan Cara Hidup Islam dan Amali Solat.

“Kadar lulus bagi subjek Amali Solat ialah 100 peratus diikuti Bidang Pengajian al-Quran dan Penghayatan Cara Hidup Islam masing-masing 99 peratus.

“Seterusnya Jawi, Imlak dan Khat (88 peratus); Adab (Akhlak Islamiyah) (82 peratus); Ulum Syariah (Akidah dan Ibadah) (79 peratus); serta Sirah dan Asas Lughatul Quran masing-masing 78 peratus,” jelasnya pada majlis pengumuman keputusan UPKK 2022 di Putrajaya, semalam.

Artikel Berkaitan:

Sambung Mohd Na'im, kemenjadian murid bukan diukur kepada jumlah bilangan A yang diperoleh tetapi melalui amalan dan cara hidup Islam yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian yang semakin mencabar.

“Harapan kami agar murid-murid yang mengikuti kelas Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) ini menjadi tonggak dan permata yang akan menyemarakkan lagi syiar Islam pada masa akan datang,” tuturnya lagi.

Berkongsi mengenai prestasi UPKK 2022, Mohd Na'im menjelaskan berlaku sedikit penurunan peratusan lulus keseluruhan dan yang mendapat 8A berbanding UPKK 2019.

“UPKK 2019 merekodkan seramai 44,066 murid daripada 223,705 calon mendapat 8A dengan peratus lulus keseluruhan ialah 93 peratus.

“Faktor pembelajaran dalam talian dan jumlah ketidakhadiran calon yang tinggi iaitu 8,921 orang antara faktor menyumbang kepada penurunan prestasi UPKK pada 2022.

“Jakim akan melaksanakan post mortem (pascanilai) bagi mencari punca dan penyelesaian kepada masalah jumlah ketidakhadiran yang tinggi bagi UPKK 2022,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok