Peserta khusyuk menyiapkan tugasan yang diberikan penganjur menerusi siri Jelajah TVPSS baru-baru ini.
Peserta khusyuk menyiapkan tugasan yang diberikan penganjur menerusi siri Jelajah TVPSS baru-baru ini.

20 sekolah sertai Jelajah TV PSS di Karangkraf

ROSHLAWATY MD RAIEH
17 Jun 2023 10:16am
A
A
A

Program Jelajah TV Pusat Sumber Sekolah (TV PSS) peringkat Negeri Selangor diteruskan lagi buat kali kedua melibatkan penyertaan sekolah rendah dan menengah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana.

Siri Jelajah TV PSS yang diadakan di Auditorium Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Rabu disertai 20 buah sekolah antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 6 dan SK Padang Jawa, Shah Alam; SK USJ 2, Subang Jaya; SK Serdang, Serdang serta SK Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan.

Turut serta ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Puchong Jaya (B), Puchong; SMK Seksyen 16 dan SMK Subang, Shah Alam; SMK Seri Indah, Seri Kembangan serta SMK Taman Desaminium, Seri Kembangan.

Menurut Penolong Pegawai PPD Petaling Perdana, Mohd Hazlan Che Onn, jelajah TV PSS merupakan program khas inovasi pusat sumber sekolah berkonsepkan digital yang diwujudkan dalam usaha menyokong Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) abad ke-21.

Tambahnya, para pelajar wajar didedahkan dengan pendidikan digital sejak di peringkat rendah bagi memastikan mereka dapat membina masa depan yang cerah.

Mohd Hazlan
Mohd Hazlan

“TV PSS juga memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kemahiran dalam bidang kewartawanan dan juga penerbitan.

“Ini merupakan program yang tepat dalam mengembangkan bakat terpendam pelajar sekali gus memberi peluang kepada mereka mengaplikasikannya di sekolah kelak,” katanya kepada Sinar Bestari.

Artikel Berkaitan:

Ujar Mohd Hazlan, sekolah yang memiliki pasukan pelajar yang kreatif dalam bidang multimedia, digalakkan untuk mengendalikan sendiri program masing-masing seterusnya menghasilkan dokumentasi atau video pendek sebagai salah satu koleksi album sekolah.

“Ini satu perkembangan bagus dan sebab itulah TV PSS dilihat medan terbaik mencungkil bakat para pelajar dalam multimedia,” jelasnya.

Pada program sehari tersebut pelbagai aktiviti menarik disediakan antaranya sesi perkongsian pengalaman dan kerjaya sebagai wartawan dan juga tugasan berkumpulan iaitu menghasilkan video.

Jelajah TV PSS peringkat Negeri Selangor dianjurkan Sinar Bestari dengan kerjasama Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok