Himpunan idea guru Daerah Petaling Jaya
Pemerkasaan sektor pendidikan amat penting dalam era Revolusi Industri 4.0 ini yang menjadikan inovasi sebagai kunci kejayaan merentas semua sektor.
Justeru, budaya inovasi perlu diterapkan bermula dari bangku sekolah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Itu antara kata-kata yang diucapkan Pegawai Tugas-Tugas Khas (Strategik) Pejabat Datuk Menteri Besar Selangor, Mohd Nazri Noh pada majlis Petaling Utama Innovative Conference on Education (PUICE) 2023.
Kata beliau, inovasi yang dijalankan oleh murid-murid serta usaha guru dan pihak sekolah dalam menerapkan unsur ini menerusi proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) menjadikan pengalaman mereka di sekolah bukan sahaja menyeronokkan, malah mencetus minat khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.
“Sesungguhnya pendidikan seumpama inilah yang diperlukan oleh anak-anak murid generasi kini dan akan datang kerana mereka akan berdepan dengan dunia yang semakin mencabar.
“Tanpa inovasi dan kreativiti, kita hanya akan terus menjadi pengikut teknologi.
“Sebaliknya dengan adanya budaya berfikir yang turut disulami dengan nilai murni serta integriti saya yakin dan percaya generasi masa depan pasti dapat bersaing dengan neagra maju sekali gus menjadi pereka cipta teknologi yang disegani warga dunia,” katanya ketika merasmikan majlis penutupan PUICE 2023 di Dewan Auditorium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Rabu.
Sementara itu, PUICE 2023 menyaksikan seramai 21 guru dari seluruh daerah Petaling Jaya membentangkan kajian tindakan mereka sebagai perkongsian meliputi kaedah PdP dalam bilik darjah.
Tidak hanya itu, beberapa pameran turut diadakan antaranya hasil inovasi murid-murid sekolah seluruh daerah Petaling Jaya.