200 murid di Parlimen Arau ini terima sumbangan kelengkapan sekolah yang buat ibu mereka lega
200 murid di Parlimen Arau ini terima sumbangan kelengkapan sekolah yang buat ibu mereka lega

200 murid di Parlimen Arau ini terima sumbangan kelengkapan sekolah yang buat ibu mereka lega

Azliyana Sulaiman
31 Dec 2020 01:22am
A
A
A

ARAU - Seramai 200 murid dari kawasan Parlimen Arau menerima sumbangan kelengkapan sekolah daripada Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim pada program Back to School yang berlangsung di Universiti Malaysia Perlis (Unimap), semalam.

Shahidan berkata, beliau berterima kasih kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang menyumbangkan kelengkapan sekolah berkenaan.

Sebahagian murid dan waris yang menghadiri di program Back to School di Unimap, semalam.

Menurutnya, program itu dilaksanakan tepat pada masa ibu bapa sedang sibuk memperuntukkan perbelanjaan sebagai persediaan anak-anak masuk ke sekolah.

“Murid yang terpilih ini mewakili lima Dun yang berusia antara tujuh hingga 12 tahun. Saya harap sumbangan ini dapat meringankan beban kewangan ibu bapa terutama yang mempunyai anak ramai.

“Saya sangat menghargai usaha TNB yang merupakan antara syarikat gergasi tempatan untuk memulangkan keuntungan diraih kepada rakyat dengan cara begini. Ini boleh menjadi contoh kepada badan korporat lain dalam usaha membantu kerajaan meringankan beban masyarakat yang memerlukan,” katanya.

Hadir sama, Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi) TNB, Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin.

Murid bersama Shahidan selepas program Back to School di Unimap, semalam.

Mohd Aminuddin berkata, setiap murid terpilih akan menerima set kelengkapan sekolah bernilai RM200 dengan kos keseluruhan RM40,000.

“Kita melengkapkan bantuan ini dengan sepasang pakaian seragam, tudung, kasut, stoking, beg dan alat tulis. TNB sangat memahami kekangan kewangan dihadapi golongan kurang berkemampuan dalam membuat persiapan persekolahan anak terutama yang mempunyai anak ramai,” katanya.

Sejak mula diperkenalkan pada 2013, seramai 12,000 pelajar dari 800 sekolah mendapat manfaat, sesuai dengan saranan kerajaan bagi membantu masyarakat kurang berkemampuan.

MOHD ZACK HAIKAL

Sementara itu, penerima, Mohd Zack Haikal Mohd Nizam, 6, berkata, dia sangat gembira apabila mendapat pakaian dan peralatan sekolah yang baharu sumbangan TNB.

“Ini menaikkan semangat saya untuk belajar bersungguh-sungguh. Saya juga sangat berterima kasih pada TNB sebab bantuan ini dapat meringankan beban bapa saya,” katanya yang akan bersekolah di SK Arau.

 MOHD AKASHA

Bagi Mohd Akasha Mohd Nizam, 10, dia sangat berterima kasih kepada TNB kerana memberi bantuan pakaian dan peralatan sekolah.

Menurut anak bongsu daripada enam beradik ini, bantuan itu dapat meringankan beban perbelanjaan ibunya untuk membeli keperluan sekolah untuk dia dan adik-beradik lain.

“Saya kasihan dengan ibu.. terpaksa besarkan kami adik beradik. Pakaian dan kasut yang saya terima ni dah cukup bantu ringan beban ibu. Saya janji akan belajar sungguh-sungguh untuk balas jasa ibu,” katanya yang merupakan murid tahun empat di SK Tambun Tulang.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok