
Pelajar terjatuh bangunan ditemui parah
Pelajar yang dilaporkan meninggal dunia akibat terjatuh dari bangunan sekolah didakwa ditemui dalam keadaan cedera parah dan tidak sedarkan diri di bawah bangunan sekolah sekitar jam 3 pagi Rabu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob berkata, pelajar tersebut berasal dari Sipitang namun belajar di sebuah sekolah agama di Papar.
"Saya memandang serius perkara dan peristiwa seperti ini yang melibatkan kematian pelajar di sekolah.
"Info dari pengetua dan guru-guru di sekolah itu dan dari kronologi peristiwa tersebut tidak jelas penyebabnya.
"Pelajar dijumpai cedera parah, tidak sedarkan diri di bawah bangunan sekolah sekitar jam 3 pagi, walaupun bilik pelajar tersebut bersama pelajar-pelajar berada di tingkat tiga, tetapi tiada siapa yang melihat kejadian tersebut sama ada terjatuh atau bersama dengan individu lain kerana pelajar-pelajar masa itu sedang tidur," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Dr Yusof berkata lagi, bedah siasat telah dibuat untuk menentukan sebab kematian dan ia masih dalam siasatan polis.
"Pihak polis tentu menyiasat untuk memastikan sama ada ada unsur jenayah atau tidak.
"Jabatan Pendidikan pula perlu menyiasat dan mencari fakta dari segi keselamatan tempat, status psikologi dan kesihatan pelajar dan lain-lain faktor seperti ada unsur buli atau tekanan fizikal juga mental. Jadi, kita tunggu hasil siasatan," katanya.
Bagaimanapun, Dr Yusof berkata, peristiwa itu perlu dijadikan sebagai iktibar, pengajaran dan ada tindakan susulan yang konkrit bergantung dari laporan hasil siasatan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dr Mohd Azam Ahmad meminta supaya tidak membuat tanggapan awal secara melulu mengenai insiden tersebut.
"(Dakwaan buli) itu saya serahkan kepada pihak polis. Kita tak boleh buat tanggapan awal secara melulu. Pihak polis akan datang dengan hasil siasatan," katanya kepada pemberita ketika hadir pada Konvensyen Pendidikan ke-29 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Jumaat.