Wan Nur Adlina Batrisyia dilaporkan hilang dari rumahnya di Kuantan sejak 15 Julai lalu.
Wan Nur Adlina Batrisyia dilaporkan hilang dari rumahnya di Kuantan sejak 15 Julai lalu.

Di mana Wan Nur Adlina Batrisyia?

18 Jul 2025 09:27pm

Seorang remaja perempuan dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Seberang Sungai Ular, Kuantan, Pahang sejak 15 Julai lalu.

Mangsa dikenali sebagai Wan Nur Adlina Batrisyia Wan Mohammad, 17, disedari hilang oleh ahli keluarganya pada hari kejadian kira-kira jam 6 petang selepas didapati tiada di dalam bilik.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintenden Mohd Adli Mat Daud berkata, laporan kehilangan dibuat oleh bapa mangsa berusia 48 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori.

"Pengadu memaklumkan bahawa anaknya telah menamatkan persekolahan selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun tidak menyambung pelajaran dan tidak bekerja," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, usaha mencari telah dilakukan oleh keluarga termasuk menghubungi telefon mangsa serta bertanyakan kepada rakan-rakan, namun masih belum membuahkan hasil.

"Pengadu juga telah mencari di sekitar kawasan Cherating, namun tidak menemui sebarang petunjuk,” jelasnya.

Sehingga kini, operasi mengesan masih diteruskan dan pihak polis sedang giat menjalankan siasatan serta pencarian bagi menjejaki mangsa.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Wan Nur Adlina Batrisyia diminta menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

WARTAWAN: ROSILAWATI ROSEDI

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp