25 individu berkepentingan bincang PPPM dan PISA
Seramai 25 individu berkepentingan seperti pakar pendidikan, ahli akademik, pemain industri dan golongan profesional menghadiri Diskusi Meja Bulat: Kualiti Pendidikan Negara di Putrajaya, Isnin lalu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, penganjuran diskusi berkenaan bertujuan membincangkan perkara berkaitan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 serta laporan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022 yang diumumkan 5 Disember 2023.
"Diskusi ini tidak akan berakhir di sini saja. Ia akan diperluaskan dengan diskusi yang lebih mendalam dan terperinci nanti. Apa yang diangkat hari ini akan dibincangkan dalam perbincangan lain,” ujarnya.
Mengulas mengenai Kurikulum Persekolahan 2027, beliau berkata, agenda tersebut bakal dimasukkan dalam siri Jerayawara Jelajah Pendidikan ke seluruh negara pada tahun depan.
"Kerangka (Kurikulum Persekolahan 2027) sudah siap. Sekarang, kita dalam proses untuk jerayawara bagi membincangkan perkara ini pada peringkat akar umbi," jelasnya.
Sebelum ini, Fadhlina berkata, pendidikan karakter, literasi asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira serta kelas pembelajaran bersepadu merupakan pendekatan baharu yang akan diperkenalkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam Kurikulum Persekolahan 2027.
Kurikulum Persekolahan 2027 yang dibentuk berteraskan kurikulum berasaskan standard dan berorientasikan kompetensi itu bermatlamat melahirkan murid berpengetahuan dan kompeten serta mencapai keseimbangan optimum dalam memberikan pendidikan berkualiti.
Beliau berkata, Kurikulum Persekolahan 2027 juga menyaksikan murid sekolah rendah dibahagikan kepada tiga tahap iaitu Tahap Satu (Tahun Satu dan Dua); Tahap Dua (Tahun Tiga dan Empat) serta Tahap Tiga (Tahun Lima dan Enam).