Dua individu dilantik Timbalan Naib Canselor
Dua individu berkaliber dan memiliki karisma tersendiri dilantik Timbalan Naib Canselor Universiti Awam untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 26 Februari 2024.
Mereka ialah Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Profesor Dr Suriani Abu Bakar, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Surat perlantikan kedua-duanya disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir di pejabatnya di Putrajaya, pada Isnin.
Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dr Azlinda Azman.
Berkongsi serba ringkas latar belakang dua individu hebat itu, Kementerian Pendidikan Tinggi dalam akaun Facebook berkata, Mohd Azizuddin pernah menyandang jawatan Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa, UUM.
Manakala Suriani pula, dilantik semula sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPSI setelah menggalas jawatan itu sejak tahun 2019 dan memiliki kepakaran dalam bidang Sains Fizik.
Semoga pelantikan Mohd Azizuddin dan Suriani memberi satu pengalaman kepimpinan baharu buat warga kampus sekali gus melonjakkan lagi pencapaian universiti masing-masing di masa hadapan.