Untitled (21)
Untitled (21)

3 pelajar UPSI terharu terima sumbangan

Nor Azma  Muhamat Laila
10 Oct 2021 04:36pm
A
A
A

Bagan Datuk - Program Walkabout Sentuhan Kasih Mahasiswa @ KPT Prihatin yang berlangsung semalam menyaksikan tiga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima sumbangan wang pendahuluan sebelum mendaftar masuk secara dalam talian ke universiti berkenaan pada 11 Oktober ini.

Tiga pelajar baharu itu ialah Nur Afrina Aina Haziman, 20, yang akan melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Seni dengan Kepujian; Fatin Hazwani Ahmad Darichi, 20, (Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Kesusasteraan Melayu dengan Kepujian) dan Amira Syafika Mohammad Agus, 20, (Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Seni dengan Kepujian).

Sumbangan kepada pelajar-pelajar berkenaan disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang berharap mereka akan belajar dengan tekun dan bersungguh-sungguh sehingga berjaya menggenggam segulung ijazah.

“Saya mendoakan semoga semua pelajar memanfaatkan segala sumbangan ini demi pengajian mereka agar menjadi graduan yang cemerlang dan hebat,” katanya ketika menyampaikan sumbangan berkenaan.

Turut hadir, Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dr Mohd Zabri Yusoff dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Husaini Omar.

Selain menerima tawaran wang pendahuluan pinjaman (WPP) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), ketiga-tiga pelajar berkenaan juga menerima sumbangan berbentuk bantuan pelan data, komputer riba dan wang saku bertujuan meringankan beban dan menyuntik semangat mereka sepanjang meneruskan pengajian masing-masing.

Ibu kepada Nur Afrina Aina, Nur Majdiyah Amin, 41, tidak dapat menahan air mata ketika menyaksikan anaknya menerima sumbangan yang disampaikan Noraini dan berharap anaknya menghargai sumbangan berkenaan dengan belajar hingga mencapai kejayaan yang cemerlang.

“Saya tidak menyangka akan menerima sumbangan ini dan mendoakan Nur Afrina Aina dapat belajar dengan bersungguh-sungguh demi mengubah nasib serta masa depan keluarga,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, turut melahirkan kesyukuran kerana ketiga-tiga pelajar universiti berkenaan terpilih menerima sumbangan itu.

“Sebagai Naib Canselor, tentunya saya berharap sumbangan ini menjadi pembakar semangat dan motivasi malah memberi fokus terhadap pengajian agar dapat mencipta keputusan terbaik seawal semester pertama.

"Kesusahan dan kepayahan hidup yang dilalui bukan suatu halangan untuk menjadi graduan yang hebat dan cemerlang.

“UPSI sentiasa berusaha menyediakan pelbagai kemudahan yang selesa untuk semua pelajar, namun krisis Covid-19 membataskan kehadiran pelajar untuk berada di kampus,” kata beliau.

Sumbangan daripada UPSI, katanya, adalah inisiatif Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS ) UPSI hasil dana zakat pelbagai agensi korporat.

Pengarah WEZAS, Prof Madya Dr Mohd Abdul Nasir Abd Latif, pula berkata WEZAS mengalukan-alukan pelbagai pihak untuk menyumbang dana kepada pihaknya supaya bantuan dapat disalurkan kepada pelajar yang memerlukan demi memenuhi impian mereka melanjutkan pengajian hingga tamat.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok