
30 kanak-kanak teruja belajar keselamatan kebakaran & pertukangan kayu
Seramai 30 kanak-kanak Tabika KEMAS Al-Amin (B), Taman Desa Baiduri, Cheras, Kuala Lumpur berpeluang mengikuti program lawatan pendidikan sehari bagi meningkatkan tahap sosial, emosi, fizikal, intelek dan rohani (SEFIR) mereka baru-baru ini.
Guru pembimbing, Nik Nurhamizah Nik Ahmed Shukri berkata, program bertujuan menambah pengetahuan serta memberi pengalaman baharu kepada kanak-kanak melalui pembelajaran secara langsung di luar bilik darjah.
"Selain dapat belajar perkara baharu, ia juga mampu merangsang perkembangan kognitif, psikomotor dan keyakinan diri kanak-kanak,” katanya.
Ujarnya, program diadakan di dua lokasi berbeza iaitu Balai Bomba dan Penyelamat Serdang serta kilang pertukangan kayu berhampiran.
"Di Balai Bomba dan Penyelamat, kanak-kanak didedahkan dengan pelbagai aktiviti antaranya ceramah tentang kebakaran dan talian kecemasan 999, demonstrasi memadam kebakaran, melihat jentera bomba dari dekat, berpeluang bermain air dan menaiki jentera bomba.

"Malah, kanak-kanak tabika diberi pendedahan tentang bahaya api sekali gus menanamkan sikap positif terhadap keselamatan kebakaran sejak awal usia," jelas Nik Nurhamizah.
Salah seorang peserta, Aidan Afiq Mohd Noor Azmi, 5, berkata, dia sangat gembira dapat menaiki jentera bomba dan belajar cara memadam kebakaran secara praktikal.
Rakannya pula, Nur Iman Raudhah Mohd Firdaus, 5, teruja ketika berkunjung ke kilang pertukangan kayu kerana berpeluang menghasilkan tabung DIY sendiri dengan bimbingan pekerja kilang.
Program lawatan pendidikan ini diharap dapat meningkatkan kesedaran keselamatan kebakaran dalam kalangan kanak-kanak dan pada masa sama menggalakkan mereka mencuba aktiviti kreatif yang mengukuhkan kemahiran sosial, kognitif dan psikomotor sejak usia prasekolah.