(Ilustrasi AI)
(Ilustrasi AI)

Sarapan Pagi Madani diperluas, 10,000 murid di Kuala Lumpur terima manfaat

12 Sep 2025 11:43am

Program Sarapan Pagi Madani akan diperluaskan ke lebih banyak sekolah rendah di ibu negara sebagai usaha memastikan murid memulakan hari mereka dengan pemakanan yang sihat dan berkhasiat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, inisiatif itu dimulakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Permaisuri, Cheras dan diteruskan di 13 sekolah rendah lain melibatkan lebih 10,000 murid.

“Saya luluskan sedikit peruntukan tambahan dan meminta penganjur meluaskan program ini ke lebih banyak sekolah di Kuala Lumpur.

“Setiap ringgit yang dibelanjakan adalah pelaburan jangka panjang untuk kesihatan, kecerdasan dan produktiviti generasi akan datang. Inilah makna ihsan dalam roh Madani iaitu kita bersama-sama membina generasi sihat, cerdas dan berdaya saing,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, pada Khamis.

Terdahulu, Dr Zaliha menghadiri majlis pelancaran Program Sarapan Pagi Madani Peringkat Kuala Lumpur bersama murid SK Seri Permaisuri.

Beliau menegaskan, pelbagai kajian berkaitan malnutrisi kanak-kanak di Kuala Lumpur menunjukkan wujud masalah beban berganda yang mana ada murid kekurangan zat makanan, manakala sebahagian pula terlebih kalori tanpa khasiat mencukupi.

“Keadaan ini boleh mengakibatkan sistem imuniti lemah, masalah fokus dalam pelajaran serta risiko rendah produktiviti apabila dewasa. Lebih membimbangkan, mereka juga berpotensi menghidap penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi pada masa hadapan,” ujarnya.

Program Sarapan Pagi Madani diyakini mampu menjadi intervensi awal untuk melahirkan generasi murid yang sihat tubuh badan, cerdas minda serta berdaya saing.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp