Untitled (17)
Untitled (17)

32,000 pelajar UUM mulakan sesi pengajian mulai hari ini

Nor Azma  Muhamat Laila
10 Oct 2021 04:25pm
A
A
A

Sintok – Lebih 32,000 pelajar tempatan dan luar negara Universiti Utara Malaysia (UUM) memulakan sesi pengajian mulai hari ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof Dr Haim Hilman Abdullah mengalu-alukan semua pelajar lama dan baharu yang memulakan sesi pengajian secara dalam talian.

“Bagi pelajar universiti ini yang akan pulang ke kampus dan memulakan sesi pengajian mereka pada 15 Oktober ini, berhati-hatilah dalam perjalanan dan patuhi prosedur operasi standard (SOP) tidak kira di mana-mana agar dapat bersama-sama mengekang penularan pandemik Covid-19,” kata beliau.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof Dr Haim Hilman Abdullah.

Menurutnya lagi, pensyarah dan staf di kampus ini juga telah bersedia untuk memulakan sesi pengajian seperti yang diumumkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

"Bagi pelajar-pelajar baharu, saya sarankan supaya mereka bersiap sedia untuk menimba pengalaman meneruskan pengajian di kampus dalam norma baharu dan mengambil peluang untuk mengenali rakan-rakan serta pensyarah-pensyarah di universiti ini.

“Universiti akan memastikan pelajar dapat terus mengikuti proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) pada kali ini, tidak kira sama ada di kampus atau di lokaliti masing-masing berdasarkan kesesuaian program mereka.

"Oleh itu, mahasiswa perlu bulatkan tekad untuk meneruskan pengajian kerana negara kini berubah wajah daripada pengajaran tradisional berbentuk kuliah kepada pembelajaran maya," ujarnya lagi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok