43,019 pelajar sekolah menengah dikesan merokok
Saringan yang dijalankan terhadap 1.3 juta pelajar sekolah menengah melalui program Kesihatan Oral Tanpa Asap Rokok (KOTAK) tahun lalu mendapati seramai 43,019 pelajar terlibat dengan tabiat merokok.
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, dalam tempoh yang sama hasil saringan yang dijalankan terhadap dua juta murid sekolah rendah mengesan seramai 341 murid turut terjebak dengan perbuatan itu.
“Murid yang dikenal pasti merokok diberikan intervensi berkenaan rokok manakala murid yang tidak merokok diberikan pendidikan kesihatan berterusan bagi memastikan mereka kekal tidak merokok,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara 3 Mac lalu ketika menjawab pertanyaan Senator N. Balasubramaniam yang ingin tahu perkembangan terkini pihak Kementerian Kesihatan dalam Generasi Penamat-Anti-Rokok (GEGAR-18) dan sejauh manakah kempen ini berhasil.
Lukanisman turut memberitahu, Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memperkasa dan memperluaskan program GEGAR-18 yang bertujuan memberi pengetahuan perundangan dan pendidikan berterusan bagi mewujudkan persekitaran bebas dari sebarang bentuk amalan merokok.
“Kempen ini juga dijalankan bagi memastikan kumpulan GEGAR-18 ini kekal bebas rokok sepanjang hayat mereka.
“Ia telah dijalankan di sembilan institut pengajian tinggi (IPT) dengan kerjasama Yayasan Sukarelawan dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Selaras dengan kempen GEGAR-18 ini, sebanyak 19 kampus universiti telah melaksanakan program perkhidmatan bimbingan berhenti merokok (MQUIT) dan menjalankan saringan serta intervensi untuk menghentikan tabiat merokok dalam kalangan mahasiswa,” ujarnya.
Tambahnya lagi, KKM juga akan terus memperluaskan kempen GEGAR-18 bagi golongan belia yang tidak memasuki mana-mana IPT melalui kerjasama Majlis Belia Malaysia dan pertubuhan lain yang berkaitan.