KPM akan pastikan makanan yang dijual sentiasa bersih, bermutu, berkhasiat, selamat dan mencukupi pada harga berpatutan.
KPM akan pastikan makanan yang dijual sentiasa bersih, bermutu, berkhasiat, selamat dan mencukupi pada harga berpatutan.

5 inisiatif dilakukan KPM berhubung pengurusan kantin sekolah

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
23 Mar 2023 09:02am

Pelbagai usaha telah dilakukan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam memastikan kebajikan dan kesihatan murid sentiasa terjamin.

Terbaharu, KPM memandang serius mengenai peningkatan kos bahan mentah di pasaran semasa dan beberapa aduan yang diterima berkaitan kenaikan harga makanan di kantin sekolah.

Menurut Menterinya, Fadhlina Sidek, beberapa inisiatif telah dilaksanakan berkaitan pengurusan kantin sekolah.

Antara inisiatif itu adalah menyediakan buku Panduan Pengurusan Kantin Sekolah Sihat; menyediakan Perjanjian Penyewaan dan Pengurusan Kantin Sekolah; mengeluarkan surat pekeliling ikhtisas dan surat arahan yang berkaitan dari semasa ke semasa; menubuhkan jawatankuasa pengurusan kantin di bawah Jawatankuasa Pengurusan Hal Ehwal Murid di sekolah serta membentuk struktur pengurusan di peringkat KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“KPM melalui Jawatankuasa Hal Ehwal Murid di sekolah bertanggungjawab memantau pengoperasian kantin dalam memastikan makanan yang dijual sentiasa bersih, bermutu, berkhasiat, selamat dan mencukupi pada harga berpatutan.

“Jawatankuasa ini sentiasa mengadakan perbincangan dengan pengusaha kantin bagi memastikan peraturan yang terkandung dalam Panduan Pengurusan Kantin Sekolah Sihat serta Perjanjian Penyewaan dan Pengurusan Kantin Sekolah dipatuhi,” ujar Fadhlina.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Selasa sebagai menjawab pertanyaan Tuan Hassan Saad (Baling) yang mahu KPM nyatakan usaha dibuat dalam mengatasi peningkatan harga makanan di kantin sekolah akibat harga bahan mentah yang tinggi di pasaran.

Sambung Fadhlina, berdasarkan Panduan Pengurusan Kantin Sekolah Sihat, Pengetua atau Guru Besar bertanggungjawab memastikan pengusaha kantin menjual makanan mengikut senarai makanan dan minuman yang terdapat dalam sebut harga yang dilampirkan dalam Perjanjian Penyewaan dan Pengurusan Kantin Sekolah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihak sekolah hendaklah memastikan penjualan makanan dan minuman adalah pada harga berpatutan.

“Sebarang perubahan harga makanan di kantin perlu dibincangkan dan mendapat persetujuan bersama oleh pihak sekolah dan pengusaha.

“Sebagai langkah kawalan dan peringatan, KPM telah mengarahkan JPN, PPD dan pentadbir sekolah membuat pemantauan kantin dari semasa ke semasa.

“Pemantauan ini berdasarkan buku panduan dan perjanjian penyewaan kantin menerusi surat arahan Pelaksanaan Pemantauan Berkala Pengoperasian Kantin Sekolah dan Peringatan Pelaksanaan Kendiri Kantin di sekolah KPM bertarikh 26 Mei 2022,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp