Segera adu KPM jika harga makanan di kantin sekolah naik
Kenaikan harga makanan di kantin sekolah bagaikan perkara biasa yang berlaku di negara ini.
Antara punca ia meningkat disebabkan berlakunya kenaikan harga barang mentah sekali gus membebankan golongan ibu bapa terutamanya kepada mereka yang memiliki ramai anak.
Dalam situasi ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggesa para ibu bapa membuat laporan terus kepada kementerian sekiranya mendapati harga makanan di kantin mengalami kenaikan.
"Sekolah perlu ambil tindakan (jika didapati berlaku kenaikan) kerana ia membabitkan kantin dengan sekolah.
"Setakat ini, kita tidak menerima apa-apa aduan tentang perkara berkenaan.
"Namun sekiranya ada isu berkaitan dan ia terus berbangkit, bolehlah buat aduan terus kepada kita (KPM)," ujar Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yeong Chang, Sungai Suloh, Batu Pahat, Johor, pada Khamis.