Asyraf Wajdi memberi sedikit taklimat ketika kunjungannya ke salah sebuah MRSM, baru-baru ini.
Asyraf Wajdi memberi sedikit taklimat ketika kunjungannya ke salah sebuah MRSM, baru-baru ini.

57 MRSM mulakan program Ulul Albab tahun ini

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
29 Mar 2024 04:28pm

Rabu lalu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memuat naik hantaran penting di akaun Facebooknya tentang situasi terkini Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Tulisnya, sebanyak 57 MRSM di seluruh negara akan memulakan program Ulul Albab peringkat Tamhidi, bermula tahun ini.

“Selain lapan MRSM Ulul Albab yang menawarkan program hafazan 30 juzuk al-Quran, sejumlah 49 MRSM lain menawarkan program menghafaz sekurang-kurangnya lima juzuk.

“Negara masa depan memerlukan lebih ramai teknokrat dan golongan profesional yang bukan sahaja hebat dalam pelbagai cabang ilmu dan kemahiran tetapi hatinya dengan ALLAH; mata hatinya disinari cahaya al-Quran kerana dicanai dari awal menghafal dan mentadabbur al-Quran,” catat beliau.

Sementara itu, hantaran Asyraf Wajdi telah menerima maklum balas yang cukup baik dalam kalangan warga maya.

Majoritinya memanjatkan kesyukuran dengan pengumuman itu dan berharap semua MRSM dapat melahirkan generasi al-Quran yang memenuhi keperluan tenaga profesional khususnya dalam bidang sains dan teknologi.

“Alhamdulillah, harap dapat diusahakan agar MRSM Ulul Albab mendapat sijil pengiktirafan dari Darul Quran JAKIM sebagaimana SMKA Tahfiz Model Ulul Albab. Apapun syabas Datuk atas usaha yang baik dan murni ini. Barakallahu fikum,” kata Fawaz Fathil.

“Perkara yang sangat baik. Ilmu dunia dan ilmu akhirat bergabung di dalam satu sistem pendidikan untuk melahirkan anak-anak yang bertaqwa kepada ALLAH. Diharap program ini dapat dirancang dan distrukturkan dengan baik agar dapat diimplementasikan dengan jayanya. Insya-ALLAH. Kami ingin menjemput Datuk Dr Asyraf untuk melawat MRSM Kuantan yang berusia 50 tahun pada tahun ini. Banyak penambahbaikan yang diperlukan di MRSM Kuantan ini terutamanya padang maktab, tempat penginapan anak-anak dan kelas-kelas,” catat Sri Wahyuni Mohamed Kham.

Artikel Berkaitan:

“Semoga melahirkan lebih ramai pelajar yang boleh menguasai bukan sekadar ilmu dunia tetapi juga akhirat. Tahniah dengan idea yang bernas ini Dr,” menurut Firdaus Annuar.

“Terbaik Dr. Semoga jiwa anak-anak kami di MRSM terisi dengan sinaran al-Quran dan berjaya dunia dan akhirat. Menyokong teguh cadangan ini,” jelas Zahiruddin Ab Rahman.

"The Brilliant Program untuk anak bangsa Melayu dan Islam," ujar Shahril Hafiz.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp