Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi

Mara tidak tawar kursus TVET syok sendiri - Asyraf Wajdi

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
11 Mar 2024 06:20pm

Tidak akan ada lambakan graduan Kemahiran atau Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sekiranya kursus yang ditawarkan dan dipelajari adalah mengikut keperluan industri.

Pengerusi Mara, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki berkata, pendekatan TVET yang ditawarkan oleh pihaknya adalah berdasarkan keperluan industri dan sekali gus tidak menawarkan kursus syok sendiri.

“Melalui hasil dapatkan libat urus dengan pihak industri membuatkan kita di Giat Mara dan Bahagian Kemahiran Teknikal untuk melihat semula program-program yang ditawarkan.

“Selain perlu memastikan rasionalisasi program tersebut yang dahulunya fokus kepada satu bidang sahaja dan ia perlu berubah kepada bidang yang diperlukan oleh industri masa kini,” katanya ketika ditemui pada sesi lawatan sempena Pendaftaran Pelajar Tingkatan Satu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kubu Baru, Selangor.

Katanya lagi, di peringkat Mara sendiri jalinan akrab antara industri terutamanya institusi pendidikan menunjukkan purata kebolehpasaran graduan TVET daripada Institusi itu adalah melebihi 97 peratus.

“Kita tidak risau dari segi lambakan graduan bahkan hari ini kita menguar-uarkan kepada masyarakat bahawa TVET bukan lagi pilihan kedua.

“Sebaliknya pilihan pertama yang menjanjikan pendapatan relatifnya lebih lumayan daripada graduan universiti,” ujarnya.

Sementara itu, Asyraf Wajdi turut memberi jaminan kepada ibu bapa bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan kes buli.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya di peringkat MRSM sendiri, pendekatan ‘you touch you go’ diguna pakai kepada mereka yang membuli bagi mengekang kes-kes tersebut daripada menjadi satu budaya hidup di asrama.

“Apabila kita tegas seperti ini dilihat kes-kes buli turun dengan drastik dan saya minta pihak MRSM juga supaya tidak ada sebarang cubaan untuk menutup kes buli.

“Ia kerana ia tidak membantu pembangunan sahsiah diri pelajar dan kita hendak buang budaya yang biasnya disinonimkan dengan asrama,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp