Keputusan permohonan boleh disemak mulai 12 tengah hari esok hingga 5 petang (15 September) - Gambar hiasan
Keputusan permohonan boleh disemak mulai 12 tengah hari esok hingga 5 petang (15 September) - Gambar hiasan

6 September beri debaran kepada lepasan STPM!

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
05 Sep 2024 01:28pm

Esok merupakan tarikh penting buat lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf dengannya (Sijil Agama Tinggi Malaysia (STAM), matrikulasi, asasi dan diploma) kerana keputusan permohonan mereka ke universiti awam peringkat Sarjana Muda Sesi Akademik 2024/2025 akan diumumkan.

Menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), keputusan itu boleh disemak mulai 12 tengah hari esok hingga 5 petang pada 15 September.

Ujarnya, semakan boleh dilakukan secara dalam talian melalui pautan https://jpt.utm.my; https://jpt.uum.edu.my; https://jpt.unimas.my; https://jpt.ums.edu.my; dan https://jpt.umt.edu.my atau melalui aplikasi Mobile UPUPocket di telefon pintar.

"Pengesahan setuju terima tawaran bermula 7 September hingga 15 September di laman sesawang universiti awam masing-masing.

"Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh universiti awam kepada yang berjaya mulai 7 September setelah calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh dinyatakan,” maklum KPT dalam kenyataan media, pada Khamis.

Sambung KPT, hanya pemohon yang tidak berjaya mendapat tawaran sahaja boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline® bagi kemasukan ke universiti awam di https://upu.mohe.gov.my dalam tempoh 10 hari mulai 12 tengah hari pada 6 September 2024 hingga 5 petang, 15 September.

"Tawaran tempat bagi Sesi Akademik 2024/2025 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian dan UA tidak dibenarkan.

"Dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian.

"Sebarang pertanyaan berkenaan dengan permohonan UPUOnline® boleh dimajukan ke Bahagian Kemasukan Pelajar |PTA secara terus di alamat Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi, Aras 4, Menara 2, Jalan P5/6, Presint 5, 62000 Putrajaya,” ujar kenyataan itu.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp