60 entiti KPM, KPT tandatangani perakuan sokongan kod sukan selamat
Sebanyak 60 wakil-wakil daripada Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menandatangani perakuan Kod Sukan Selamat yang dipelopori Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selaras dengan pelancaran kod berkenaan Mac lalu.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pelajar di peringkat sekolah dan mahasiswa universiti adalah pihak berkepentingan terbesar bagi kod terbabit memandangkan peringkat sekolah merupakan akar umbi kepada pembangunan atlet negara.
“Saya percaya semua pelajar dan jurulatih akan ada kesedaran yang tinggi mengenai Kod Sukan Selamat dan bila ada kesedaran, mereka akan tahu bagaimana ingin membawa diri semasa melakukan aktiviti sukan.
“Kita ingin wujudkan budaya sukan yang sihat di negara ini, bahasa yang digunakan (dalam kod ini) mudah difahami, ada apa-apa masalah KBS sedia bantu KPM,” katanya pada majlis penandatanganan kod berkenaan bersama KPM dan KPT baru-baru ini.
Dalam pada itu, Hannah mencadangkan agar KPM melantik pegawai bagi mengawal selia kod itu selain menjadi saluran menerima aduan bagi kod terbabit.
Menurut Hannah, enam aspek diberi keutamaan dalam Kod Sukan Selamat meliputi gangguan seksual, salah laku mental, salah laku fizikal, pembulian, pengantunan seksual dan kesalahan-kesalahan yang sedia ada di bawah undang-undang negara.
“Satu lagi komponen penting dalam kod ini adalah kerahsiaan terutama pengadu kanak-kanak, unit pengurusan aduan akan pastikan kerahsiaan pengadu dalam peringkat siasatan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, KPM akan memastikan kod terbabit dilaksanakan dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) yang akan berlangsung tidak lama lagi.
“Ini adalah peluang yang cukup baik untuk kita pastikan kod ini berjalan dengan meluas dalam konteks sukan di bawah KPM sendiri.
“Kita akan perincikan di peringkat KPM bagaimana bentuk proses akses aduan dan sebagaimana kita jangka aduan akan lebih banyak kerana mereka sudah ada akses dan kesedaran,” katanya.
Kod Sukan Selamat telah dilancarkan pada 15 Mac lalu merangkumi tatacara kelakuan yang bakal diguna pakai untuk mengendalikan aduan mengenai gangguan seksual dalam industri sukan sebelum digantikan dengan Akta Sukan Selamat pada masa akan datang. - Bernama