umk4
umk4

6,254 pelajar UMK kembali ke kampus

Nor Azma  Muhamat Laila
15 Mar 2022 02:02pm
A
A
A

BACHOK - Seramai 816 pelajar yang membuat permohonan kebenaran untuk kembali ke kampus mula mendaftar masuk bagi memulakan pengajian di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), sejak semalam.

Naib Canselornya, Profesor Dr Razli Che Razak berkata, jumlah tersebut (sehingga 5 petang 13 Mac lalu) adalah sebahagian daripada kumpulan pertama membabitkan 6,254 pelajar diterima untuk mendaftar masuk bagi mengikuti sesi pengajian secara bersemuka pada semester baharu yang bermula pada 20 Mac ini.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 4,527 pelajar telah memohon untuk penginapan di dalam kolej kediaman dan 1,727 pelajar memilih untuk menginap di luar.

“Pendaftaran masuk untuk sesi akademik 2021/2022 ini diadakan secara berperingkat bermula 13 sehingga 19 Mac melibatkan pelajar daripada semua tahun pengajian di ketiga-tiga kampus UMK.

“Pelajar perlu mematuhi garis panduan kemasukan dengan mengemaskini status kesihatan di Mysejahtera sebelum memasuki kawasan kampus.

 

“Mereka digalakkan menjalani ujian kendiri dalam masa tempoh tiga hari sebelum bertolak ke kampus dan pelajar yang disahkan negatif sahaja dibenarkan kembali ke kampus manakala yang didapati positif atau bergejala diminta menangguhkan kemasukan sehingga sembuh,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di Pusat Saringan Kesihatan Covid 19 di Dewan Tuanku Canselor, UMK Bachok, baru-baru ini.

Sementara itu, UMK turut menyediakan pusat saringan kesihatan dan kit ujian kendiri Covid-19 yang dikendalikan oleh Pusat Kesihatan Universiti dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar.

Ujar Razli lagi, setakat ini proses pendaftaran pelajar berjalan lancar dengan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) iaitu pemakaian pelitup muka serta menjaga penjarakan bagi memastikan kelancaran sesi pembelajaran pada 20 Mac nanti.

“Selain itu, hebahan kesihatan juga akan sentiasa dikemaskini bagi memastikan pelajar sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) sepanjang tempoh pengajian," tuturnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok