suksis3
suksis3

65 pelatih Kor SUKSIS UKM ditauliah Inspektor Sukarelawan PDRM

Nor Azma  Muhamat Laila
30 Dec 2021 02:42pm
A
A
A

BANGI - Seramai 65 pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ditauliahkan Inspektor Sukarelawan Simpanan Polis pada Majlis Tamat Latihan Dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor SUKSIS bagi tahun 2021, baru-baru ini.

Majlis tersebut menyaksikan 33 pelatih lelaki dan 32 pelatih perempuan menerima watikah yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Deputi Komisioner Polis (DCP) Datuk Mazli Mazlan.

Menurutnya, pelatih Kor SUKSIS perlu menjalani latihan selama tiga tahun atau enam semester yang melibatkan 672 jam secara keseluruhannya dengan modul yang ditetapkan antaranya latihan kawad, latihan senjata, kursus asas pasukan gerakan am dan program khidmat masyarakat.

“Pelatih Kor SUKSIS diyakini mampu untuk menjadi seorang graduan yang memiliki kemahiran insaniah yang tinggi, membentuk sahsiah cemerlang ke arah menjadi pemimpin berkaliber serta berpengetahuan dalam bidang kepolisan,” katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Naib Canselor, Penyelidikan dan Inovasi merangkap Komandan Kor SUKSIS UKM, Profesor Datuk Ir Dr Abdul Wahab Mohammad.

Sejak penubuhan Kor SUKSIS UKM pada 30 Mei 2005, seramai 754 pelatih telah berjaya ditauliahkan sebagai Inspektor Sukarelawan Simpanan Polis.

Mazli turut menggalakkan pelatih supaya memilih bidang kepolisan sebagai kerjaya selepas tamat pengajian.

“Saya amat berharap pelatih Kor SUKSIS UKM dapat menceburkan diri dalam dunia kepolisan dengan menjadikan kerjaya ini sebagai pilihan utama.

“Pelatih boleh memohon untuk menjawat jawatan sebagai seorang pegawai polis berpandukan kepada tawaran pengambilan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa untuk berkhidmat sebagai seorang pegawai polis.

“Pengalaman menjalani latihan selama tiga tahun di dalam Kor SUKSIS akan menjadi satu kelebihan dalam proses saringan dan temu duga yang dijalankan,” tambahnya.

Profesor Mohd Ekhwan turut berbangga kerana UKM mampu melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik malah diterapkan dengan ilmu kepolisan melalui Kor SUKSIS.

“Saya yakin dan percaya penerapan nilai ilmu dalam bidang kepolisan ini juga akan melatih dan mendidik mahasiswa untuk menjadi lebih berdisiplin.

“UKM sentiasa memberi penekanan terhadap pembentukan modal insan yang seimbang dan holistik terutama dalam kalangan mahasiswa. Penekanan ini bertujuan untuk memastikan mereka benar-benar menjadi modal insan yang memiliki ciri-ciri progresif, mengutamakan nilai etika dan bermoral tinggi,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok