Sebanyak 515 pusat peperiksaan di 74 buah sekolah di negeri ini terlibat dalam peperiksaan PSRA.
Sebanyak 515 pusat peperiksaan di 74 buah sekolah di negeri ini terlibat dalam peperiksaan PSRA.

6,689 calon PSRA 2023 dapat Mumtaz

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
14 Dec 2023 04:27pm

Pengumuman peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) Tahun 2023 menyaksikan seramai 6,689 daripada 43,127 calon berjaya mendapat pangkat Mumtaz (Cemerlang).

Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shazihan Ahmad, peratus calon yang mendapat pangkat Mumtaz sebanyak 15.3 peratus (6,689 calon) berbanding 15.8 peratus (6,803 calon) pada 2022.

“Bagi calon yang mendapat pangkat Jayyid Jiddan (Sangat Baik) pula adalah sebanyak 32.6 peratus (14,223 calon) berbanding 34.8 peratus (15,040 calon) pada 2022,” katanya ketika siaran langsung di semua platform media sosial pada Majlis Pengumuman PSRA Tahun 2023 di Dewan Sakinah, Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam, Selangor, pada Khamis.

Teks ucapan itu dibacakan Timbalan Pengarah Operasi JAIS, Salwana Ahmad Dahlan.

Sambung Salwana, calon yang mendapat pangkat Jayyid (Baik) adalah seramai 10,096 calon atau 23.1 peratus, meningkat berbanding 9,743 calon atau 22.6 peratus tahun lalu.

“Begitu juga calon yang mendapat pangkat Maqbul (Lulus) juga meningkat kepada 1.7 peratus iaitu 17.5 peratus (7,638 calon) berbanding 15.8 peratus (6,839 calon) tahun sebelumnya.

“Manakala bilangan calon mendapat pangkat Musaadah (Perlu bimbingan) adalah 11.5 peratus (4,950 calon) berbanding 11.04 peratus (3,932 calon) 2022,” ujar beliau.

Melihatkan kepada statistik peperiksaan PSRA tahun ini, Salwana menjelaskan, pencapaian peratus kelulusan keseluruhan adalah 88.5 peratus berbanding 88.96 peratus pada 2022.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, keputusan itu secara umumnya terdapat sedikit penurunan.

“Walaupun menurun sedikit, namun ia bukanlah yang terendah dalam sejarah PSRA sepanjang dilaksanakan.

“Apa yang lebih penting ialah kejayaan dalam melahirkan murid yang berketerampilan, memiliki budi pekerti dan sahsiah tinggi, hasil mujahadah para murabbi yang berdedikasi dalam menjadikan khalifah menurut acuan generasi Quran.

“Malah, ibu bapa dan penjaga juga merupakan tunjang utama melahirkan anak-anak yang berpotensi cemerlang dunia dan akhirat.

“Tidak lupa juga penglibatan masyarakat setempat dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) khususnya yang seiring bersama pihak sekolah melaksanakan program-program pendidikan untuk memantapkan lagi siri Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di sekolah,” tuturnya.

Seramai 44,202 calon berdaftar dan 43,127 atau 98.9 peratus menduduki PSRA di Selangor yang melibatkan 515 pusat peperiksaan di 74 buah sekolah di negeri ini.

PSRA membabitkan lima mata pelajaran iaitu Akhlak dan Sirah; Bahasa Arab; Jawi, Imlak dan Khat; Tauhid dan Fiqah serta Tajwid.

Turut dinilai ialah Ujian Tilawah dan Hafazan kepada semua calon yang menduduki PSRA 2023.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp