7 teras utama jadi tumpuan KPM
Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberi tumpuan kepada tujuh teras utama dalam memperkasa pendidikan negara.
Menterinya Fadhlina Sidek berkata, tujuh teras utama berkenaan adalah menjadikan komunikasi antara kementerian dan sekolah lebih cekap dan telus.
"Ia bagi mengurangkan kesenjangan birokrasi dalam urusan guru dan murid. Aduan, cadangan dan pertanyaan boleh dikemukan terus melalui pelbagai saluran rasmi yang disediakan KPM termasuk Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), AduBuli dan Kaunter Khidmat pelanggan.
"Saya akan memastikan laporan berkaitan akan diambil tindakan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas KPM di Dewan Serbaguna Kompleks E, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying, Ketua Setiausaha KPM, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali.
Fadhlina menambah, teras kedua adalah memberi penekanan kepada aspek karamah insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti.
Katanya, KPM yakin akan mewujudkan suasana harmoni yang akan menghindari gejala negatif seperti gangguan seksual, eksterisme, gengsterisme dan vandalisme.
"Selain itu, melalui teras ketiiga, KPM akan memberi perhatian terhadap isu kemiskinan multidimenasi murid daripada keluarga B40 termasuk dari aspek malnutrisi, peranti dan ruang pembelajaran.
"Saya akan bekerjasama rapat dengan kementerian yang berkaitan dalam memastikan isu kemiskinan keluarga yang memberi impak langsung kepada pendidikan anak-anak dapat dibantu dengan sebaik mungkin," katanya.
Beliau menambah, teras keempat adalah memberi perhatian kepada isu keciciran pendidikan serta masalah literasi dan numerasi supaya kesenjangan pendidikan yang wujud dapat dirapatkan.
Katanya, kelima pula akan memberi fokus kepada kebajikan guru kerana guru adalah teras utama keberkesanan penyampaian pendidikan.
"Justeru, saya akan memastikan mereka diberi sokongan profesional berterusan yang sewajarnya dan memberi tumpuan kepada kebajikan termasuk tekanan dihadapi guru disebabkan beban tugas serta berjauhan daripada pasangan.
"Bagi teras keenam pula, akan memberi tumpuan kepada usaha mengubahsuai dan menaik taraf sekolah-sekolah yang mempunyai bangunan daif, terutamanya di Sabah dan Sarawak," ujarnya.
Katanya lagi, teras ketujuh adalah meningkatkan keupayaan pendidikan digital di sekolah termasuk mengadakan libat urus bersama agensi pusat bagi meningkatkan keupayaan pendidikan digital di institusi pendidikan bawah kementerian.
“Saya akan mengarahkan KSU untuk melihat perkara ini. Kementerian Pendidikan akan mengemukakan cadangan yang bersesuaian untuk pertimbangan Jemaah Menteri,” ujarnya.
Artikel berkaitan
KPM mampu gubal dasar ke arah era baharu pendidikan negara – Fadhlina Sidek
Fadhlina Sidek mula tugas secara rasmi di KPM