FjhA4KjaMAAqNXL
FjhA4KjaMAAqNXL

KPM mampu gubal dasar ke arah era baharu pendidikan negara - Fadhlina Sidek

Adlan Farhan Azwan
09 Dec 2022 05:04pm
A
A
A

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek percaya dengan kemampuan kementeriannya dalam melaksana dan menggubal dasar ke arah era baharu sektor pendidikan negara.

Berdasarkan sesi interaksi awal yang berlangsung dalam minggu ini, beliau berkata cukup yakin dengan kemampuan, bakat dan kesungguhan jentera Kementerian Pendidikan (KPM) yang melaksana dan menggubal dasar-dasar kementerian.

"Saya dan jentera KPM akan bersama-sama memikul amanah dalam melakar era baharu sektor pendidikan negara.

"Saya menyedari bahawa amanah dan harapan yang amat besar menanti saya apabila dilantik sebagai teraju utama KPM," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Fadhlina menambah, pendidikan merupakan satu wadah utama bagi menyerlahkan potensi individu sekali gus melahirkan insan yang berilmu, bertanggungjawab dan menyumbang kepada kemakmuran serta kesejahteraan ummah.

Katanya, kesedaran dan keyakinan itu mendorong beliau untuk memulakan sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan bagi menekuni status dan tahap kemajuan semasa pada peringkat Bahagian KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), serta kementerian secara keseluruhan.

"Saya turut meluangkan masa dengan pengetua serta guru besar (PGB) di sekolah dan para guru yang merupakan barisan pertahanan pendidikan pertama negara dalam menjayakan misi membina legasi pendidikan manusiawi.

"Gabungan pendekatan atas-ke-bawah (top-down) dan bawah-ke-atas (bottom-up) ini memberikan input dan akan menjadi pendekatan utama dalam mentadbir kementerian berlandaskan semangat dan roh yang terkandung dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan," ujarnya.

Fadhlina bertugas secara rasmi sebagai Menteri Pendidikan pada Isnin lalu dan melakar sejarah dalam pentadbiran negara apabila menjadi wanita pertama memegang jawatan tersebut.

Beliau adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta Sarjana Undang-Undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel berkaitan

Fadhlina Sidek mula tugas secara rasmi di KPM

Pendidikan inklusif beri peluang murid pendidikan khas terus berdaya saing

Pendidikan fleksibel mampu lonjak imej pengajian tinggi negara


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok