Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Kredit foto: Bernama
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek. Kredit foto: Bernama

710 projek pembangunan semula sekolah daif siap dibaik pulih - KPM

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
19 Aug 2024 10:26pm

Sejumlah 710 projek pembangunan semula bangunan sekolah daif di seluruh negara telah siap dibaik pulih setakat Ogos ini dengan 164 projek dalam pembinaan dan baki 201 projek di peringkat prapembinaan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya sentiasa memantau keadaan sekolah seluruh negara bagi memastikan murid dapat mengikuti proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) dalam suasana kondusif dan selamat.

Majlis penyerahan tersebut turut disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek (tengah) dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan), Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Zahrul Hakim Abdullah serta pengurusan tertinggi daripada kedua-dua kementerian.
Kredit foto: Bernama
Majlis penyerahan tersebut turut disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek (tengah) dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan), Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Zahrul Hakim Abdullah serta pengurusan tertinggi daripada kedua-dua kementerian. Kredit foto: Bernama

“Inisiatif projek pembangunan semula bangunan sekolah daif adalah usaha berterusan KPM untuk meningkatkan akses pendidikan bagi manfaat semua murid.

“Sehingga Ogos 2024, pelaksanaan projek tersebut melibatkan sebanyak 1,075 buah sekolah seluruh negara,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek KPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap, Sabak Bernam, Selangor, pada Isnin.

Majlis penyerahan tersebut disempurnakan Fadhlina dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Zahrul Hakim Abdullah serta pengurusan tertinggi kedua-dua kementerian.

Ia merupakan penyerahan dua projek pembinaan gantian penuh bangunan enam bilik darjah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Bagan Terap dan pembinaan semula bangunan daif Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Haji Dorani.

Mengulas lanjut mengenai Belanjawan 2025, Fadhlina berkata, Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 yang bakal berakhir serta pelaksanaan agenda reformasi pendidikan negara menjadi antara fokus KPM.

Artikel Berkaitan:

“Keutamaan kita tertumpu kepada pembangunan sekolah, fasiliti dan keperluan lain yang penting bagi diselaraskan dengan agenda reformasi pendidikan.

“Antara lain yang turut diberi perhatian termasuklah peluasan kelas prasekolah yang kita lihat sebagai satu pendekatan penting bagi menangani isu keciciran dan malnutrisi dalam kalangan anak-anak.

“Termasuklah program intervensi anak-anak berkeperluan khas, STEM digital dan dasar Memartabarkan Bahasa Malaysia dan Memperkasa Bahasa Inggeris,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp