Untitled (17)
Untitled (17)

8,077 calon duduki peperiksaan SPM ulangan mulai 21 September ini

Nor Azma  Muhamat Laila
19 Sep 2021 07:39pm
A
A
A

PUTRAJAYA - Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) 2021 akan dilaksana bermula 21 hingga 23 Sept 2021, dengan 8,077 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan berkenaan.

Lembaga Peperiksaan (LP) dalam kenyataan hari ini memaklumkan seramai 1,568 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian SPMU 2021 di 201 pusat peperiksaan di seluruh negara.

LP mengingatkan semua calon merujuk jadual waktu peperiksaan untuk maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung dengan memuat turun jadual waktu peperiksaan di portal rasmi LP di http://lp.moe.gov.my.

Calon juga diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan pernyataan pendaftaran peperiksaan ke pusat peperiksaan serta mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah yang terkini dikeluarkan Kementerian Pendidikan.

LP berkata calon juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan dan pencegahan penularan wabak COVID-19 dengan memuat turun garis panduan itu di portal rasmi KPM di https://www.moe.gov.my. - BERNAMA

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok