92.5 peratus lepasan TVET dapat pekerjaan
Statistik terkini menunjukkan sebanyak 92.5 peratus lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berjaya mendapat pekerjaan.
Ia diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini selepas sesi bual bicara komuniti TVET di Ekspo TVET@KKDW 2023, Kepala Batas, Pulau Pinang.
Justeru ujar beliau, kerajaan menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berhasrat menaikkan gaji minimum lepasan berkenaan daripada RM1,500 kepada RM2,000.
Jelasnya, hari ini TVET bukan sahaja mengajar subjek konvensional malah turut seiring dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).
“Apa yang saya lakukan ialah transformasi untuk kita bergerak mengorak langkah baharu ke arah IR 4.0. Kerajaan komited untuk tingkatkan TVET.
“Insya-ALLAH, satu dasar baharu oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dengan kerjasama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama 10 lagi kementerian untuk kita rombak dan kita akan menjadi negara maju,” ujar Ahmad Zahid memetik Bernama.