TVET mampu kuasai pasaran kerja
Isu berkaitan golongan belia sering menjadi buah mulut kalangan masyarakat tempatan berkaitan pendidikan akademik dan teknikal.
Ia menyebabkan masyarakat bimbang dengan masa hadapan negara kerana perlu bertanggungjawab terhadap golongan berkenaan.
Bagi meredakan keadaan, kerajaan telah melaksanakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi menampung kekurangan semasa dan menangani isu yang dihadapi oleh golongan belia.
TVET merupakan program pendidikan yang menumpukan kepada pemikiran teknikal dan vokasional. TVET juga salah satu sistem pendidikan berasaskan industri yang melatih pelajar dalam kemahiran khusus seperti dalam bidang automotif, elektrikal, kulinari dan sebagainya.
Terdapat dua institusi TVET awam yang ditubuhkan pada tahun 1964 yang menyediakan latihan dan kemahiran kepada belia, iaitu terdiri daripada Institusi Kemahiran Belia dan Negara (IKBN) dan Institusi Latihan Perindustrian (ILP).
Pada masa kini, lebih 200 institusi TVET awam yang menawarkan pelbagai program kepada belia bagi semua peringkat pendidikan.
Selain itu, terdapat pendekatan untuk pelajar menceburkan diri dalam bidang TVET iaitu melalui Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Bagi pelajar lepasan SPM, mereka berpeluang melanjutkan pelajaran sama ada sijil atau diploma dalam program TVET yang berkemahiran tinggi.
Tambahan pula, bagi pelajar yang mempunyai lulusan program TVET, mereka mampu menguasai pengetahuan dan kemahiran praktikal dengan lebih baik berbanding lulusan program akademik.
Dengan kelebihan yang dimiliki, pelajar tersebut berpotensi mendapat lebih banyak pilihan peluang pekerjaan dan mampu meraih tumpuan majikan untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada pelajar lulusan TVET.
Menurut Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan dan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), TVET merupakan proses pendidikan, selain melibatkan pembelajaran dalam bidang berkaitan teknologi dan sains, latihan kemahiran praktikal serta sikap, pemahaman dan pengetahuan tentang pekerjaan dalam pelbagai sektor ekonomi dan kehidupan sosial.
TVET juga diiktiraf di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 sebagai salah satu pembolehdaya yang menyumbang pembentukan negara membangun makmur dan inklusif selaras matlamat globalisasi, ekonomi berasaskan pengetahuan, inovasi teknologi serta mobiliti tenaga kerja global.
Permintaan industri
TVET ditubuhkan dengan hasrat memenuhi permintaan industri dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.
Ia mengupayakan pendekatan diterajui industri untuk menyediakan modal insan berkemahiran yang diperlukan terutama menyokong peralihan sektor ekonomi ke arah aktiviti berasaskan pengetahuan, selari aspirasi menjadi negara maju pada tahun 2020.
Hal itu menjadikan TVET sebagai platform penting bagi meningkatkan tenaga kerja mahir.
TVET ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran teknikal dalam kalangan pelajar. Mereka belajar cara menggunakan alat dan mesin, membaik pulih barang serta proses pembuatan sesuatu produk.
Sebagai contoh pelajar yang memiliki teknik dalam bidang automotif dapat menceburi bidang pekerjaan sebagai mekanik di pusat servis kenderaan atau pelajar tersebut dapat membuka pusat servis kenderaan milik sendiri.
Hal ini kerana bidang ini memerlukan pekerja yang mahir dalam aspek teknikal, pelajar yang mempunyai kemahiran teknikal yang baik akan mempunyai peluang yang sangat besar bagi mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.
Ia gambaran jelas bahawa TVET memberi peluang kepada pelajar bagi memperoleh kemahiran praktikal yang diperlukan dalam industri pada masa kini sekali gus menghasilkan tenaga kerja yang berkualiti dalam bidang-bidang tertentu selari dengan keperluan industri pada masa kini.
TVET juga membuka peluang kepada pelajar yang kurang berminat dalam bidang akademik. Mereka masih mempunyai peluang untuk menceburi bidang kemahiran teknikal. Sebagai contoh, dalam bidang kulinari di mana pelajar yang menyertai TVET berpeluang untuk mempelajari untuk menjadi seorang chef secara praktikal.
Kerajaan juga mempergiat kolaborasi dengan industri untuk meningkatkan pengambilan TVET. Pendekatan ini menghasilkan graduan berkemahiran diperlukan dalam industri dan menjadikan TVET sebagai laluan pilihan untuk pelajar.
Kerjasama dengan industri bagi pelaksanaan TVET adalah salah satu cara bagi mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan belia.
Pendekatan TVET berpusatkan kepada industri memperkukuhkan program TVET negara. Sebagai contoh, penglibatan industri seperti Petronas dalam kluster minyak dan gas, DRB Hicom bagi kluster automotif, Sunway bagi kluster perhotelan dan MRCB bagi kluster pembinaan dapat memperkukuhkan lagi program TVET dan graduan mampu memenuhi keperluan industri. Jelaslah TVET memainkan peranan penting dalam mengurangkan dan mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan belia negara dan mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam industri.
Selain itu, TVET berusaha meningkatkan kebolehpasaran pelajar dengan melengkapkan mereka dengan pengetahuan teori dan kemahiran praktikal yang dikehendaki industri. Sedikit sebanyak ia dapat membantu pelajar diterima dengan baik dalam pasaran.
Dengan ini, graduan TVET dapat memenuhi pasaran kini dengan memperoleh pelbagai pilihan peluang pekerjaan yang lebih baik dan pendapatan yang lebih tinggi tambahan pula dapat meningktakan kualiti hidup graduan ke arah yang lebih baik.
Melalui pembangunan latihan dan pendidikan dalam bidang teknikal dan vokasional, TVET membantu meningkatkan produktiviti dalam pelbagai sektor ekonomi menerusi latihan praktikal selaras dengan keperluan industri.
Ia dapat meningkatkan tahap kecekapan dan produktiviti dalam sesuatu sektor ekonomi. Ini juga dapat merangsang ke arah inovasi dengan menghasilkan tenaga kerja yang kreatif dan berdaya saing.
Dengan ini jelaslah bahawa program TVET memberi banyak kelebihan dan impak yang baik kepada setiap individu dan negara. TVET banyak memberi sokongan dan peluang kepada golongan belia untuk menceburi bidang yang diminati dan menjadikan minat mereka sebagai kerjaya pada masa hadapan seterusnya mampu menjana pendapatan dan meningkatkan kualiti hidup.
Maklumat Penulis
1 - Pelajar Tahun Akhir SM Ekonomi (Sumber Alam), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Siti Anis Sabrian Sukri
2 - Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial UMT, Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my