AI: Ramai mengeluh, tidak sependapat dengan KPM
“Tak boleh ke kalau yang sekolah rendah ni kita fokuskan pada 3M dulu? Yang 3M ni pun masih ramai murid yang merangkak. Lagi nak sumbat asas AI dalam silibus? Dah kenapa?”
Demikian status yang dimuat naik Cikgu Mohamad Hakim Mohammad Nor menerusi laman Facebooknya, Selasa lalu.
Kenyataan yang dikongsi guru Matematik di sebuah sekolah di Selangor itu, sehingga kini telah menarik perhatian hampir 2,000 pelayar Facebook.
Malah, pandangan dan pendapat peribadi yang diberikan mereka (netizen) juga telah mencecah 200 lebih dan 114 perkongsian.
Dalam situasai ini, ramai tertanya-tanya, kenapa status guru muda ini menjadi perdebatan ramai? Apa yang menyebabkan beliau menulis sedemikian?
Membaca komentar demi komentar, Sinar Bestari mendapati bahawa status Cikgu Mohamad Hakim itu merujuk kepada kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang memaklumkan murid sekolah rendah bakal diajar mengenai asas kecerdasan buatan (AI) pada sesi persekolahan 2027.
Menurut Fadhlina, mereka (murid-murid) akan diperkenalkan dengan asas AI dalam mata pelajaran Teknologi Baharu dan Digital.
“Penerokaan dan aplikasi AI selanjutnya akan diteruskan di peringkat sekolah menengah bagi mata pelajaran yang sama dan juga dalam subjek Sains Komputer, Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta Reka Bentuk dan Teknologi,” ujarnya.
Memetik beberapa pendapat di Facebook guru ini, rata-ratanya bagaikan tidak bersetuju dengan pengumuman Menteri Pendidikan berkenaan.
“Membaca dan mengeja pun tak lepas, macam mana nak menaip untuk AI tu? Belum cerita pasal fasiliti, makmal komputer semua sekolah ok ke? Nak harapkan ibu bapa sediakan komputer atau gajet, bukan semua ibu bapa mampu,” tulis Ermariza Arym.
“Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Entah apa yang nak di kejar sangat dengan AI tu, 3M tak kuasai, tak ke mana pun,” jelas Faridah Yusof.
“Setuju, murid keciciran punya ramai, ni nak terjah AI lagi,” catat Efa Abdullah.
“3M pun terkapai-kapai lagi, keras betul hidup murid sekarang,” menurut Syazwani Abd Wahid.
“Siapalah suggest benda-benda macam tu. Sifir pun tak lancar lagi. Makin peninglah kepala dia orang,” keluh Puan Effa.
“Tolonglah dengar luahan dari guru-guru sebab diaorang yang ngadap murid-murid,” pandangan Aisyah Sharif.
“Betul, utamakan yang asas dulu. Naik Tingkatan Satu...nombor genap dan nombor ganjil pun tak tahu,” kata Sya Agustika Shidee.