Pakej umrah milik Danial Hakim
Seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Bharu, Kelantan, menghadiahkan pakej umrah kepada pelajar Tingkatan Dua sempena hari persaraannya sebagai pendidik pada Khamis.
Mohd Danial Hakim Faiz Teng, 14, dari Kampung Padang Rokma di sini, dilihat tidak dapat menahan sebak sejurus pengacara majlis mengumumkan nombor 118 miliknya sebagai pemenang hadiah utama cabutan bertuah berkenaan.
Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, dia sama sekali tidak menyangka cabutan bertuah yang diidamkan oleh 800 pelajar itu menjadi miliknya dan menyifatkan sebagai satu mimpi apabila dapat menjejakkan kaki ke tanah suci Makkah tidak lama lagi.
"Saya tidak pernah berjalan jauh, malah kapal terbang pun tak pernah naik.
"Alhamdulillah, rasa macam tidak percaya," katanya kepada pemberita.
Menurut Mohd Danial Hakim, dia sudah tidak sabar untuk berkongsi berita gembira tersebut dengan ibunya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal, Norhidayu Zulkifli, 38.
Sementara itu, Ahmad Zaki Mohamed Amin yang bersara wajib pada usia 60 tahun memberitahu, kelainan yang dibuat itu adalah untuk memberikan kenangan indah kepada pelajar sempena tamatnya perkhidmatan beliau sebagai pendidik.
Beliau yang merupakan guru bahasa Arab dan pendidikan Islam itu berkata, pelajar berkenaan akan terbang menunaikan umrah bersamanya pada Disember nanti sempena cuti sekolah.
"Semua kos ditanggung termasuk wang poket RM500 juga akan diberikan.
"Menariknya, saya sendiri akan membimbing umrah Mohd Danial Hakim nanti," katanya yang juga merupakan seorang mutawif.
Bapa kepada tujuh orang anak dan serta empat menantu dan empat cucu itu melahirkan rasa syukur dapat melakukan sesuatu yang istimewa untuk dikenang sebagai pendidik.
Ujarnya, selain majlis persaraan yang meriah serta gilang-gemilang dengan kehadiran isteri, Zarila Zakaria, 51, serta ahli keluarga, memori yang tercipta pada hari tersebut diharap akan dikenang sampai bila-bila oleh warga SMK Wakaf Bharu.