Akses memudaratkan pemikiran generasi pemimpin
Syarikat penerbitan wajib pasarkan bahan bacaan mengikut kategori usia
Mengejutkan apabila seramai 25,120 orang daripada 330,532 remaja seluruh Malaysia dilaporkan pernah melakukan hubungan seks.
Menurut hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 terhadap individu berusia lingkungan 13 hingga 17 tahun, statistik itu berkait rapat dengan pengaruh media atau bahan bacaan berbaur lucah yang semakin menarik minat para pembaca khususnya pelajar.
Malah, bahan bacaan yang dijual dalam pasaran terbuka tidak mengikut kategori dan mudah diakses oleh semua golongan peringkat usia.
Menurut Pensyarah Perubatan, Jabatan Psikiatri, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Maruzairi Husain, pendedahan bahan bacaan termasuk novel yang mengandungi unsur lucah di media sosial mencetuskan kebimbangan banyak pihak.
Ini kerana, golongan berkenaan mudah terpengaruh dengan apa sahaja yang dibaca melalui pemahaman, mentafsir dan seterusnya mengimaginasikan setiap bait perkataan.
“Terdapat beberapa faktor yang membimbangkan apabila pelajar atau murid terdedah dengan bahan bacaan tidak ditapis. Yang paling ketara adalah gangguan dari sudut budaya dan perkembangan mereka.
“Penceritaan dalam sesetengah novel mendedahkan perkara terlarang, seolah-olah ia normal untuk dilakukan, bercanggah dengan budaya masyarakat khususnya bagi mereka beragama Islam,” katanya kepada Sinar Bestari, pada Rabu.
Ditanya mengenai pendidikan seksual dalam kalangan pelajar, Maruzairi memberitahu, ia sememangnya penting agar dapat mendidik anak-anak untuk mendalami ilmu agar tahu mengurus diri serta tidak mudah terjebak dengan gejala tidak sihat.
Tegasnya, melalui pendidikan, penjelasan mengenai perkara seksual didedahkan dalam bentuk fakta, namun lain pula ceritanya sekiranya mereka membaca bahan bacaan seperti novel mengandungi unsur negatif dan lucah.
“Novel atau bahan bacaan tanpa tapisan kebanyakannya berbentuk fiksyen yang menjerumus kepada imaginasi tidak sihat.
“Mereka (pelajar) akan mudah khayal dengan imaginasi tidak sepatutnya andai membaca tanpa batasan mana-mana bahan apatah lagi belum mencapai had umur ditetapkan,” ujarnya lagi.
Justeru, Maruzairi menegaskan semua pihak berperanan untuk mengangkat isu ini agar dapat ditangani sebelum nasi menjadi bubur.
Pihak bertanggungjawab antaranya kerajaan perlu membuat penyelarasan dengan menentukan tag atau garis panduan sesuai had umur seperti yang dilakukan untuk siaran televisyen.
“Tentukan mana-mana novel yang sesuai dengan had umur pelajar ini dan tag agar mereka tidak terus membeli buku yang tidak sepatutnya.
“Ibu bapa juga hendaklah memantau bahan bacaan anak-anak dan sentiasa teliti buku yang macam mana mereka akses,” katanya.
Target pemasaran
Sementara itu, penulis buku di syarikat penerbitan FIXI, Syafiq Aizat berpendapat, syarikat penerbitan hendaklah menyasarkan golongan yang bersesuaian dengan setiap buku yang diterbitkan.
Baginya, buku atau novel fiksyen adalah platform bacaan yang memberi pendedahan kepada orang ramai untuk berimaginasi dan keadaan yang tidak boleh disampaikan dengan fakta semata-mata.
“Contoh buku yang ada kandungan tidak sesuai dibaca oleh pelajar, sebenarnya ia tidak salah pada buku tetapi salahnya pada pemasaran buku itu sendiri.
“Ia sepatutnya disasarkan kepada golongan dewasa atau mengikut had umur yang sesuai. ‘Target market’ bukan untuk golongan sekolah. Di cover buku itu boleh disertakan nota yang menyatakan ia mempunyai kandungan dewasa yang tidak sesuai untuk usia pelajar,” katanya.